Sunday, January 20, 2008

21 Januari 2008: Permasalahan Kajian

Puan Marniyati

Assalamu alaikum,

Cuba Puan fikirkan tentang "permasalahan kajian" yang hendak Puan selidik. Nyatakan dalam 100 perkataan.

Masukkan ke dalam "comments."

3 comments:

marni said...

Wa'alaikummussalam Prof.,

Berikut adalah draf awal "permasalahan kajian" saya. Mohon pandangan daripada Prof. :

PERMASALAHAN KAJIAN

Menurut hasil kajian Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia yang dijalankan pada 24 September hingga 7 Oktober 2005, terdapat seramai 59,315 orang graduan gagal mendapat pekerjaan. Sebelas punca dikenal pasti dan tujuh daripadanya berkaitan dengan kelemahan kemahiran insaniah (soft skills) graduan terbabit. Justeru, pada 22 Ogos 2006, Kementerian Pengajian Tinggi telah memperkenalkan Modul Pembangunan Kemahiran Insaniah untuk IPT bagi menangani permasalahan ini. Modul ini digunakan merentas hampir kesemua kursus kurikulum mahupun ko-kurikulum di IPT. Walau bagaimana pun, perlaksanaan modul ini hanya diwajibkan ke atas IPTA sahaja.

Terdapat banyak sumbang saran daripada para pensyarah IPT tentang kaedah yang sesuai digunakan untuk proses penerapan kemahiran insaniah dalam kursus-kursus berkaitan. Namun, sehingga kini belum terdapat lagi sebarang modul yang bersesuaian khusus untuk penerapan kemahiran insaniah melalui kursus bahasa Melayu. Bahkan, tafsiran kemahiran insaniah itu sendiri hanya bergantung kepada tafsiran yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi semata-mata.

Justeru, penyelidikan ini dijalankan di atas beberapa tujuan berkaitan. Antaranya ialah untuk memberikan definisi dan konsep yang lebih tepat untuk kemahiran insaniah. Selain itu, penyelidikan ini juga akan cuba mengenal pasti elemen-elemen kemahiran insaniah yang bersesuaian untuk diterapkan ke dalam silibus kursus bahasa Melayu, khususnya di IPTS yang tidak terlibat dengan modul pembangunan kemahiran insaniah oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Pendekatan atau kaedah pengajaran yang bersesuaian juga akan dikenal pasti bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran. Di akhir kajian, satu modul lengkap untuk pendidikan kemahiran insaniah melalui kursus bahasa Melayu akan dihasilkan.

Persoalan yang akan dijawab oleh penyelidikan ini :

a. Apakah sebenarnya kemahiran insaniah?
b. Apakah elemen-elemen kemahiran insaniah?
c. Elemen apakah yang bersesuaian diterapkan ke dalam silibus kursus bahasa Melayu di IPTS?
d. Apakah kaedah yang boleh diguna pakai dalam proses pengajaran kemahiran insaniah melalui kursus bahasa Melayu terbabit?

Di akhir kajian, satu modul lengkap untuk pendidikan kemahiran insaniah melalui kursus bahasa Melayu akan dihasilkan.



RUJUKAN :

Fatimah Abu Bakar et al. (2006). Kebolehgunaan Tenaga Graduan Wanita : faktor dan cabarannya. Prosiding Persidangan Antarabangsa Psikologi. Univerisiti Malaysia Sabah.

Kementerian Pengajian Tinggi. (2006). Prangkaan Spintas Lalu Pengajian Tinggi 2005. Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Putrajaya.

Universiti Putra Malaysia. (2007). Prosiding Persidangan Pengajaran & Pembelajaran di Peringkat Pengajian Tinggi (CLTH 2007). The Palace of Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor.



Marniyati binti Mohd. Nor
21 Januari 2008

marni said...

Assalamualaikum w.b.t

Semoga Prof. sentiasa berada di bawah payung kesejahteraan Nya...

Sekadar ingin bertanya, adakah Prof. berkelapangan pada 6 Februari (Rabu) minggu hadapan? Sekiranya Prof. berkelapangan, saya ingin berjumpa untuk sesi perbincangan selanjutnya sekitar jam 10am. Sekiranya Prof. tidak berkelapangan pada tarikh tersebut, saya akan pilih tarikh lain kemudian nanti.

Antara yang ingin saya bincangkan :
1. Permasalahan kajian.
2. Tinjauan literatur.
3. Hasil 'pilot study'.
4. Definisi soft skills.
dan beberapa item lain.

Semoga Allah permudahkan segala urusan. Terima kasih.

marni said...

Assalamualaikum Prof.,

Berikut adalah "permasalahan kajian", tujuan kajian dan soalan kajian yang telah saya murnikan selepas sesi perbincangan dalam kuliah UKP6013 (kelas En. Idris Mohd. Radzi) :

Permasalahan Kajian

Menurut hasil kajian Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia yang dijalankan pada 24 September hingga 7 Oktober 2005, terdapat seramai 59,315 orang graduan gagal mendapat pekerjaan. Sebelas punca dikenal pasti dan tujuh daripadanya berkaitan dengan kelemahan kemahiran insaniah (soft skills) graduan terbabit khususnya dari aspek komunikasi.

Sehubungan itu, pada 22 Ogos 2006 Kementerian Pengajian Tinggi telah memperkenalkan Modul Pembangunan Kemahiran Insaniah untuk IPT bagi menangani permasalahan tersebut. Modul ini digunakan merentas hampir kesemua kursus kurikulum mahupun ko-kurikulum di IPT. Salah satu daripada elemen yang tersenarai dalam modul ini ialah elemen komunikasi.

Justeru, penyelidikan ini khusus untuk meninjau apa sebenarnya elemen komunikasi yang diperlukan dalam kemahiran insaniah tersebut dan mengenal pasti elemen komunikasi yang bagaimana yang perlu diterapkan ke dalam silibus untuk para pelajar IPT.

Sebelum ini, konsep dan tafsiran kemahiran insaniah bergantung kepada penyenaraian yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Namun dalam penyelidikan ini, tafsiran kemahiran insaniah akan mengambil kira konsep dan keperluan kemahiran insaniah dari beberapa pihak lain yang terlibat secara langsung dengan isu ini seperti para graduan dan firma yang mengambil pekerja itu sendiri.



Tujuan Kajian

Antara tujuan kajian ini dijalankan :
1. Memberikan definisi dan konsep yang lebih tepat untuk kemahiran insaniah, khususnya bagi elemen komunikasi.
2. Mengenal pasti perincian elemen komunikasi dalam kemahiran insaniah yang bersesuaian untuk diterapkan dalam silibus untuk pelajar IPT.
3. Mengenal pasti kaedah pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian untuk memasukkan elemen komunikasi dalam kemahiran insaniah ke dalam silibus.



Soalan Kajian

Antara soalan yang akan dijawab dalam kajian ini :
1. Apa sebenarnya kemahiran insaniah (dari perspektif graduan, pensyarah dan firma-firma)?
2. Apakah elemen atau ciri-ciri komunikasi dalam kemahiran insaniah?
3. Apakah elemen atau ciri-ciri komunikasi dalam kemahiran insaniah yang boleh diterapkan dalam kursus di IPT (berpandukan silibus sedia ada)?
4. Apakah kaedah yang boleh diguna pakai untuk mengajar kemahiran insaniah ini?



Rujukan :

Fatimah Abu Bakar et al. (2006). Kebolehgunaan Tenaga Graduan Wanita : faktor dan cabarannya. Prosiding Persidangan Antarabangsa Psikologi. Univerisiti Malaysia Sabah.

Kementerian Pengajian Tinggi. (2006). Perangkaan Spintas Lalu Pengajian Tinggi 2005. Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Putrajaya.

Universiti Putra Malaysia. (2007). Prosiding Persidangan Pengajaran & Pembelajaran di Peringkat Pengajian Tinggi (CLTH 2007). The Palace of Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor.



Marniyati Mohd. Nor
30 Januari 2008