Saturday, January 19, 2008

20 Januari 2008

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Supaya Puan tiak keliru mengenai definisi soft skills, sila baca:

1. Entri soft skills dalam Wikipedia. Buat ringkasan dan masukkan ke dalam ulasan dalam blog ini.
2. Soft skills dalam mana-mana syarikat yang melatih soft skills. Buat ringkasan dan masukkan ke dalam blog ini.
3. Dan sebuah buku sahaja mengenai soft skills. pastikan buku ini diterbitkan selepas 2004. Baca seluruh buku bagi menapatkan maklumat. Buat ringkasan dan kritikan, dan masukkan ke dalam blog ini.

Kemudian bincangkan dengan saya definisi dan unsur-unsur soft skills daripada ketiga-tiga sumber ini. Ini perlu dilakukan sebelum membuat kertas cadangan.

Prof. Abdullah Hassan

3 comments:

HBM Consultant said...

Wa'alaikummussalam Prof.,

Terima kasih di atas panduan yang diberikan. Insyaallah saya akan letakkan ulasan pembacaan seperti yang dinyatakan.

Semoga Allah permudahkan segala urusan. Terima kasih sekali lagi.

Marniyati binti Mohd. Nor
21 Januari 2007

HBM Consultant said...

Assalamualaikum Prof.,

Berikut adalah ringkasan pembacaan saya tentang definisi soft skills (rujukan dari Wikipedia) :

DEFINISI (Rujukan : Wikipedia)

Soft skills merujuk kepada kecemerlangan individu dalam beberapa aspek seperti sikap dan personaliti, kemahiran berbahasa (berkomunikasi), sikap bersopan-santun, memiliki pergaulan yang luas serta bersikap optimis. Soft skills merupakan pelengkap kepada kemahiran lahiriah (hard skills) yang juga merupakan keperluan teknikal untuk mendapatkan pekerjaan. Soft skills dibahagikan kepada dua kategori iaitu kemahiran individu dan kemahiran interpersonal.

Kemahiran individu merujuk kepada lima ciri atau aspek peribadi seseorang. Satu daripadanya ialah esteem diri seseorang yang merupakan daya galakan atau motivasi dalaman pada diri seseorang. Esteem diri merujuk kepada kaedah bagaimana seseorang itu menghargai dan menilai diri sendiri. Pengurusan diri juga merupakan salah satu aspek kemahiran individu. Pengurusan diri merangkumi kaedah, kemahiran dan strategi yang digunakan oleh seseorang untuk menguruskan aktiviti dan perancangan hidupnya. Termasuk di dalam aspek pengurusan diri ini ialah pengurusan masa dan proses membuat keputusan.

Selain esteem diri dan pengurusan diri, sikap bertanggung jawab dan kebolehan untuk bersosial juga merupakan sebahagian daripada kemahiran individu. Seseorang yang memiliki pergaulan yang luas dan mudah berkawan dikatakan sebagai memiliki kemahiran individu yang baik. Satu lagi aspek yang disenaraikan sebagai kemahiran individu ialah kejujuran. Kejujuran ditafsirkan sebagai nilai kemanusiaan dan perlakuan yang penting dalam komunikasi.

Kemahiran interpersonal pula merujuk kepada enam ciri atau aspek. Satu daripadanya ialah penglibatan individu sebagai ahli dalam sesebuah kerja kumpulan. Ia merujuk kepada bagaimana ahli tersebut memainkan peranannya dengan betul serta memberikan sumbangan yang seharusnya diberikan. Aspek kedua ialah kebolehan individu memberikan tunjuk ajar kepada individu lain bukan sebagai ketua tetapi sebagai individu yang setara kedudukan sosialnya dengan individu yang diberikan tunjuk ajar.

Selain penglibatan sebagai ahli kumpulan dan memberikan tunjuk ajar, kebolehan memimpin juga merupakan salah satu daripada kemahiran interpersonal yang disenaraikan. Kebolehan memimpin ini merangkumi kemahiran memimpin organisasi mahu pun sekadar sebuah kumpulan kecil. Selain kebolehan kepimpinan, kebolehan berunding dan menyelesaikan masalah tidak kurang pentingnya dalam kemahiran interpersonal ini.

Aspek lain yang diberikan penekanan dalam kemahiran insaniah ini merupakan kemahiran pengurusan pelanggan (bagi sektor niaga) dan kemahiran bekerja dengan persekitaran budaya yang pelbagai. Penyesuaian diri dalam sistem sosial amat penting bagi memiliki kemahiran interpersonal yang cemerlang.

Ulasan :

Merujuk kepada definisi dari sumber Wikipedia ini, soft skills boleh ditafsirkan juga sebagai kemahiran interaksi. Kemahiran interaksi adalah kemahiran seseorang itu untuk saling berhubung dan bertindak balas dengan persekitarannya. Dua pecahan atau kategori yang disenaraikan merujuk kepada sikap atau kekuatan dalaman pada diri individu untuk berinteraksi (kemahiran individu) dan kemahiran yang melibatkan interaksi sosial dalam masyarakat (kemahiran interpersonal). Secara keseluruhannya, ia menjurus kepada kemahiran berkomunikasi.


Marniyati binti Mohd. Nor
22 Januari 2008

HBM Consultant said...

Assalamualaikum Prof.,

Berikut adalah senarai kursus soft skills (ringkasan) yang saya perolehi :

SOFT SKILLS YANG DITAWARKAN
(Rujukan : Syarikat-syarikat yang mengajar kursus soft skills di dalam dan luar negara)


Berikut adalah empat buah organisasi (daripada sejumlah besar yang ada) yang menawarkan program latihan atau kursus berkaitan dengan soft skills :

1. Institut Tadbiran awam Negara (institusi awam, dalam negara).
2. Redynamics Asia (firma swasta dalam negara, Petaling Jaya, Selangor).
3. Impact Factory (firma swasta luar negara, London, UK).
4. Everest Training & Consulting (firma swasta luar negara, Colorado, Florida).

Institut Tadbiran Awam Negara menyenaraikan sejumlah 210 program dan kursus yang sebahagian besarnya melibatkan soft skills. Matlamat utamanya adalah untuk membekalkan sumber tadbir urus yang berkualiti. Antara kursus terkini (berkaitan dengan soft skills) adalah Program Kepimpinan & Pengurusan Lanjutan, Kemahiran Berfikir : Pemikiran Kreatif, Kemahiran Berfikir : Pemikiran Lateral, Kursus Komunikasi & Persembahan Berkesan, Kursus Protokol, Etiket Sosial & Ketrampilan Diri, Kursus Pengurusan Organisasi, Bengkel Ketelusan Dalam Membuat Keputusan, Perkhidmatan Kaunter Berkualiti dan Kursus Pengurusan Mesyuarat.

Redynamics Asia pula menawarkan kursus soft skills yang menjurus kepada bidang pengurusan perniagaan. Antaranya ialah Kemahiran Komunikasi Perniagaan Efektif, Kemahiran Komunikasi Efektif, Membina Keyakinan Diri Dengan Penggunaan Bahasa Inggeris, Pengurusan Stress, Pengurusan Masa, Membuat Keputusan & Penyelesaian Masalah Efektif, Membuat Keputusan & Pemikiran Kreatif, Kemahiran Kepimpinan Efektif, Team Building, Kemahiran Interpersonal & Komunikasi, Kemahiran Persembahan Efektif & Pembinaan Keyakinan Diri, Kemahiran Menjawab Panggilan Telefon dan juga Pengurusan Perhubungan Pelanggan.

Impact Factory merupakan salah sebuah firma yang menawarkan kursus soft skills di luar negara yang memfokuskan kepada pembinaan kemahiran individu dalam kehidupan seharian. Firma ini menekankan ‘amali’ sebagai kaedah utama untuk meningkatkan soft skills. Antara kursus soft skills yang ditawarkan adalah Kemahiran Komunikasi, Pengurusan Konflik, Kursus Kemahiran Temuduga, Kursus Pengurusan Stress dan Keseimbangan Hidup. Dalam kursus Keseimbangan hidup, terdapat lagi beberapa pecahan kursus kecil. Antaranya ialah kursus Kepimpinan, Persembahan, Komunikasi Efektif, Kreativiti & Inovasi, Motivasi dan juga Kursus Team Building.

Satu lagi firma luar negara yang menawarkan kursus soft skills ini ialah Everest Training & Consulting yang beroperasi di Colorado, Florida. Antara kursus yang ditawarkan adalah Kemahiran Jualan, Kemahiran Komunikasi, Kemahiran Penyeliaan Pekerja, kemahiran Kepimpinan dan Kemahiran Pemikiran Kritis. Fokus utama penawaran kursus oleh firma ini ialah peningkatan kualiti pengurusan perniagaan.

ULASAN :

Sungguh pun terdapat perbezaan fokus mahupun matlamat penawaran kursus soft skills oleh keempat-empat firma ini, namun dapat dilihat bahawa sebahagian besar daripadanya menjurus ke arah kemahiran berinteraksi antara individu dengan individu atau dengan anggota masyarakat yang lain. Sebahagian besar daripadanya juga jelas memberikan tumpuan kepada kemahiran berkomunikasi. Antara yang jelas kelihatan ialah tumpuan kepada komunikasi dalam organisasi, komunikasi individu dan komunikasi dalam bidang perniagaan.

Marniyati binti Mohd. Nor
22 Januari 2008