Saturday, December 22, 2007

23 Disember 2007

Assalamu alaikum Puan,

Cuba semak kembali tentang kemahiran berfikir kreatif dan kritis. Adakah ini betul-betul ada dalam 'buku' atau keluar daripada ungkapan biasa didengar?

Creative and critical thinking do not go together in many text books!

Daripada sini, sila senaraikan buku-buku mengenai kemahiran insaniah.

Gunakan buku sebagai sumber rujukan dan asas dalam membina konsep.

Bandingkan dengan KI Kementerian Pengajian Tinggi.

Kemudian jangan lihat lagi buku KI Kementerian Pengajian Tinggi.

Teruskan pembacaan dalam bidang KI yang sebenarnya, BUKAN KI Kementerian Pengajian Tinggi.

Serius. Lihat bahagian integriti yang menyokong kemahiran insaniah. Bahagian (b) itu bukan etik. Daripada buku mana Puan dapat?

Nyatakan semua sumber.

Sumber internet cukup hanya untuk langkah permulaan. Kemudian bacalah buku ilmu.

Semak buku mengenai 'values and ethics' yang bertarikh antara 2000 - 2009.

Sila dapatkan definisi nilai dan etik.

Prof. Abdullah Hassan

2 comments:

HBM Consultant said...

Wa’laikummussalam Prof.,

Terima kasih di atas maklum balas.

Untuk pengetahuan Prof., rumusan yang saya letakkan di sini merupakan kesimpulan atau rumusan daripada apa yang saya baca di internet (termasuklah tafsiran berkaitan dengan etika) dan sedikit semakan di KI Kementerian Pengajian Tinggi. Saya belum lagi memulakan rujukan dari buku-buku ilmiah yang mengkhusus dalam bidang KI (masih lagi berdepan dengan kesukaran untuk mendapatkan buku). Insyaallah, saya yakin akan dapat mengatasi kesukaran tersebut dan memulakan rujukan (buku) dalam masa terdekat.

Terima kasih sekali lagi.

HBM Consultant said...

Assalamualaikum Prof., saya telah membuat beberapa pembacaan tentang konsep asas nilai, etika dan integriti. Kesemua 3 aspek ini akan saya letakkan sebagai elemen sokongan kepada pembentukan kemahiran insaniah. Saya mohon pandangan daripada Prof. tentang konsep yang telah saya rumuskan seperti berikut :

1. Nilai
Nilai merujuk kepada aspek-aspek murni yang penting dan menjadi keutamaan dalam sesebuah masyarakat. Dalam masyarakat Melayu misalnya, sopan santun, kejujuran dan keikhlasan merupakan antara nilai yang diberikan keutamaan. Secara umumnya, nilai ditentukan oleh beberapa elemen. Antaranya ialah kepercayaan atau pegangan agama, budaya, adat dan adab dalam sesebuah masyarakat. Nilai wujud secara berbeza-beza mengikut kepelbagaian budaya, situasi dan amalan tradisi masyarakat. Namun, nilai tidak pernah bergantung kepada pilihan individu semata-mata. Bagi mereka yang beragama, sistem nilai didokong kuat oleh kepercayaan atau pegangan agama masing-masing. Ia merupakan satu set sistem nilai yang utuh dan tidak mudah berubah-ubah mengikut situasi. Himpunan kepercayaan dan pegangan agama inilah yang menjadi asas pembentukan etika individu dalam sesebuah masyarakat.

2. Etika
Etika adalah himpunan nilai akhlak atau moral yang berteraskan pegangan agama, kepercayaan, adab dan adat yang menjadi pegangan individu. Ia menjawab persoalan mengenai nilai-nilai hidup yang baik. Etika merupakan prinsip atau panduan yang membimbing individu dalam membezakan baik buruk mahupun benar atau salah sesuatu tindakan. Pemilihan untuk memutuskan apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan ini merupakan satu aktiviti pertimbangan yang sentiasa dilalui oleh setiap individu ketika berinteraksi.

3. Integriti
Integriti pula merupakan komponen yang menjadi cermin kepada etika. Jika etika merupakan nilai yang ada dalam diri individu, integriti pula merupakan perlaksanaan kepada etika yang dipegang. Integriti merupakan keselarasan antara prinsip nilai dan etika dengan amalan mahupun tindakan yang diambil oleh seseorang. Bagi menjadikan individu itu seorang insan yang berintegriti, etika wajib dijadikan pegangan, bahkan dihayati dan diamalkan dalam kehidupan seharian secara berterusan dan konsisten.

Rumusan :

Moral/akhlak, agama, adab, adat & budaya membentuk nilai. Nilai menjadi asas kepada etika. Etika wajib diamalkan untuk melahirkan individu berintegriti.

Rujukan :

Chris Beckett, Andrew Maynard. 2005. Values & Ethics in Social Work. London : SAGE Publication.

Charles Stamford, Noel Preston. 1998. Public Sector Ethis : finding and implementating values. Australia : The Federation Press.

Kerajaan Malaysia. 2004. Pelan Integriti Nasional. Kuala Lumpur : Institut Integriti Malaysia.

Kerajaan Malaysia. 1991. Nilai dan Etika dalam Perkhidmatan Awam. Kuala Lumpur : Institut Tadbiran Awam Negara.

Terima kasih, Prof.


Marniyati binti Mohd. Nor
31 Disember 2007
11.00 am