Sunday, February 15, 2009

17 Februari 2009

ASssalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Saya sudah membaca cattatan Puan mengenai penyeliaan terakhir minggu lalu.

Sila betulkan istilah.

Gunakan istilah 'personal concept' yang bermaksud 'konsep diri', bukan 'professional concept'.

Konsep diri sangat menentukan cara kita berkomunikasi dengan orang.

Wassalam

7 comments:

HBM Consultant said...

Terima kasih, Prof.

Maaf kerana melakukan kesilapan. Saya terkeliru kerana selepas berbincang dengan Prof. tentang 'personal concept' kita juga berbincang tentang 'professional concept'.

Saya akan perbetulkan. Terima kasih sekali lagi atas teguran tersebut.

HBM Consultant said...

Laporan Perkembangan Penyelidikan

Bagi mendapatkan definisi kemahiran insaniah, kaedah ‘triangulation’ yang digunakan adalah mengikut pecahan 3 kategori seperti berikut:
1.Sumber bacaan.
2.Pengumpulan data.
3.Tokoh informan.

1. Sumber bacaan terbahagi kepada 3 kategori rujukan iaitu:

1.1 Sumber bacaan Islam
a. Al Quran dan Hadith.
b. Pekerti muslim.
c. Sifat dan sikap rasulullah dan para sahabat.

1.2 Sumber bacaan barat
a. Rujukan dari barat.
b. Buku, jurnal dan lain-lain.

1.3 Pendidikan dalam dan luar negara
a. Kandungan kursus di IPT.
b. Kursus oleh syarikat yang menawarkan kursus berkaitan KI.
c. Bahan sukatan mata pelajaran.

2. Pengumpulan data terdiri daripada aktiviti temu bual, mengedarkan borang soal selidik dan melakukan pemerhatian. Pengumpulan data melibatkan 3 kategori iaitu:

2.1 Pendapat masyarakat yang terdiri daripada pemimpin sosial, tokoh agama dan orang awam.
2.2 Majikan. Aktiviti yang dijalankan adalah temu bual majikan, pemerhatian terhadap aktiviti temuduga graduan dan pemerhatian aktiviti komunikasi antara majikan dengan pekerja.
2.3 Universiti dan graduan. Ia melibatkan pendapat pensyarah, pendapat graduan dan kandungan kursus yang diajar.

3. Tokoh informan juga dianalisis menggunakan kaedah triangulation, melibatkan 3 kategori iaitu:

3.1 Sumber bacaan
a. Buku
b. Majalah
c. Jurnal
d. Laman web syarikat

3.2 Pendapat pengamal personaliti korporat, iaitu pekerja dan mereka yang berkaitan dengan tokoh informan.

3.3 Temu bual pemimpin korporat
a. Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari
b. Tan Sri Mohamed Ali Hashim
c. Tan Sri Rozali Ismail
• Tokoh bukan Melayu juga akan dicari bagi mendapatkan dimensi pandangan yang pelbagai.

HBM Consultant said...

Salam,

Saya mohon Prof. berikan pandangan tentang penggunaan label 'masyarakat' pada catatan no. 2.1 yang saya tulis. Boleh atau tidak saya labelkan 'masyarakat' untuk kategori yang menempatkan orang awam, tokoh agama (ustaz) dan pemimpin sosial?

Terima kasih, Prof.

HBM Consultant said...

Temu bual bersama orang kampung bagi mendapatkan pendapat mereka tentang pemimpin sosial.

Individu 1.

Soalan:
(Saya memulakan temubual ini dengan sedikit penerangan berkaitan KI). Pada pandangan saya, seseorang yang dilantik sebagai ketua dalam sesebuah masyarakat perlu memiliki kemahiran insaniah yang baik. Kemahiran ini akan membuatkan penduduk yang diketuainya berasa mudah, selesa dan gembira untuk berurusan dengannya. Pada pendapat Tuan Haji, apakah yang dimaksudkan sebagai kemahiran insaniah?

Jawapan:
Pada pandangan saya, jika kita mahu orang lain gembira dan selesa berurusan dengan kita, maka caranya cukup mudah. Kita mesti bijak berkomunikasi dengan orang lain, bijak mengambil hati penduduk setempat. Kalau cara kita bercakap pun menyebabkan orang lain tidak sukakan kita, susahlah.

Soalan:
Maksudnya, setiap ketua itu mesti memiliki ciri-ciri seorang ketua yang baik. Boleh Tuan Haji berikan contoh?

Jawapan:
Ciri-ciri ketua yang baik, ada banyak. Bukan semua ketua ada ciri-ciri ketua yang baik. Paling penting adalah sikap. Mesti seorang yang baik budi bahasa. Orang yang baik budi bahasa tentu disukai oleh orang lain. Bercakap dengan sopan dan tidak lekas marah. Seorang yang panas baran bukanlah ketua yang baik.

Mesti juga seorang yang suka membantu orang lain. Kalau berat tulang, macam mana hendak bantu penduduk? Pasti penduduk akan marah sebab ketua tidak membantu mereka. Ketua mestilah orang yang ada sikap ingin ambil tahu. Mesti ambil berat masalah orang lain. Prihatin. Sebaik-baiknya, menghulurkan bantuan sebelum diminta.

Seorang ketua juga mesti seorang yang pandai bercakap. Maksud saya, pandai meyakinkan orang lain dan memujuk sesiapa yang datang mengadu masalah kepadanya. Mesti boleh membantu penduduk mencari jalan untuk menyelesaikan masalah. Atau sekurang-kurangnya meyakinkan penduduk bahawa masalah itu akan dibawa ke pihak atasan untuk diselesaikan.

Ketua yang baik juga mesti seorang yang suka berbincang dan tidak bertindak ikut suka hati. Mesti dengar pendapat anak buah masing-masing. Mesti ada tolak ansur. Kalau ada gotong-royong misalnya, ketua yang baik itu akan datang dan sama-sama buat kerja. Bukan sekadar bagi arahan dan cuma datang untuk jamuan.

Di kawasan ini misalnya, ada penduduk Melayu, Cina, India dan orang asli. Setiap kelompok ini ada keperluan dan adab budaya yang berbeza. Ketua yang baik mesti tahu dan mesti faham. Mesti juga ada hubungan baik dengan ketua masyarakat orang Cina, India dan orang asli ini. Ini sangat penting kerana kalau ada perselisihan faham, ketua inilah yang akan meleraikan segala masalah.



Soalan:
Nampaknya, bukan mudah memegang jawatan sebagai ketua. Saya ingin tahu, apa agaknya kelayakan yang mesti ada pada seseorang sebelum dilantik menjadi ketua kampung atau penghulu?

Jawapan:
Ada perbezaan untuk menjadi Ketua Kampung dan Penghulu.

Penghulu adalah pentadbir mukim, satu kawasan yang besar yang terdiri daripada beberapa buah kampung. Penghulu berkhidmat di bawah Pegawai Daerah. Di bawah setiap penghulu itu pula terdapat beberapa orang Ketua Kampung dan ketua masyarakat Cina, India dan Orang Asli. Setiap masalah orang kampung yang dilaporkan kepada Ketua Kampung akan disampaikan kepada Pegawai Daerah. Jawatan Penghulu itu boleh dimohon melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Permohonan perlulah mendapat sokongan kuat daripada Pegawai Agama Daerah dan Mufti Negeri. Perlantikan Penghulu dibuat melalui watikah yang akan dikeluarkan oleh Sultan. Seseorang penghulu itu perlu mempunyai kelulusan sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memiliki latar belakang agama yang baik.

Pemilihan Ketua Kampung pula dibuat oleh penduduk kampung dengan sokongan dan persetujuan Penghulu. Permohonan untuk jawatan Ketua Kampung pula dibuat melalui pengisian borang yang kemudiannya diserahkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan tersebut. Tiada sebarang kelayakan akademik ditetapkan bagi jawatan ini. Jawatan Ketua Kampung adalah jawatan seumur hidup dan perlantikannya dibuat melalui watikah Sultan. Ketua Kampung bertugas secara langsung di bawah Penghulu bagi mengawasi kawasan kampungnya. Ketua Kampung akan dibantu oleh beberapa Jawatan Kuasa Keselamatan Kampung (JKKK) yang dilantik oleh penduduk setempat. Ketua Kampung akan bekerjasama dengan ketua masyarakat India, Cina dan Orang Asli untuk sesuatu kawasan. Jika kelompok masyarakat bukan Melayu ini adalah kelompok minorti yang terlalu kecil jumlahnya dan tidak memiliki ketua, maka Ketua Kampung akan berperanan sebagai ketua mereka juga.

HBM Consultant said...

Individu 2

Soalan:
(Saya memulakan temubual ini juga dengan sedikit penerangan berkaitan KI). Pada pandangan saya, seseorang yang dilantik sebagai ketua dalam sesebuah masyarakat perlu memiliki kemahiran insaniah yang baik. Kemahiran ini akan membuatkan penduduk yang diketuainya berasa mudah, selesa dan gembira untuk berurusan dengannya. Pada pendapat Tuan, apakah yang dimaksudkan sebagai kemahiran insaniah?

Jawapan:
Pada pandangan saya, kemahiran insaniah pada seorang ketua itu bermaksud ciri-ciri seorang ketua yang baiklah.

Soalan:
Boleh tuan jelaskan apakah ciri-ciri seorang ketua yang baik?

Jawapan:
Pertama, dia mestilah seorang yang ada asas pengetahuan dan pegangan agama yang baik. Kedua, dia mestilah orang yang paling suka menghulur bantuan. Di mana sahaja ada penduduk kampung yang ditimpa musibah, dialah orang yang akan ada di situ bagi menghulurkan bantuan. Dia mestilah seorang yang peka dan cepat bertindak.

Ketiga, dia mesti mempunyai personaliti yang baik, suka bercakap yang baik-baik, lembut dan sopan. Mesti ada sikap-sikap positif dan tidak cepat marah, tidak kasar ketika bercakap.

Seterusnya, dia mestilah baik dengan masyarakat berbilang bangsa di tempatnya, dihormati dan dipercayai oleh semua orang.

Dalam masyarakat dahulu, ketua kampung adalah seorang yang perlu memiliki latar belakang sosioekonomi yang baik. Ini kerana, ketua kampung adalah orang yang paling banyak perlu membantu orang-orang kampung yang hidup susah.

Ketua kampung dahulu tidak sama dengan ketua kampung sekarang. Dahulu, ketua kampung buat kerja dari rumah, dari surau dan masjid tetapi sekarang ketua kampung beroperasi dari balai raya bersama-sama dengan penghulu.

Soalan:
Bagaimana pula dengan kelayakan akademik seorang ketua kampung. Apakah ia perlu?

Jawapan:
Dari segi akademik, ketua kampung perlulah seorang yang sekurang-kurangnya tahu membaca dan menulis. Itu sahaja.

HBM Consultant said...

Berikut adalah laporan perkembangan penyelidikan sehingga Mei 2009:

1. Temu bual bersama pemimpin korporat masih tertangguh kerana belum mendapat tarikh yang sesuai. Para pemimpin korporat itu sangat sibuk. Hanya temu bual bersama pengamal personaliti korporat, Tan Sri Rozali Ismail sahaja yang telah selesai dijalankan. Walau bagaimanapun, temujanji dengan pemimpin Puncak Niaga Holding tersebut perlu dilakukan sekali lagi bagi mendapatkan peluang menyertai satu mesyuarat syarikat seperti yang Prof. cadangkan.

2. Saya sedang membuat penelitian menerusi pembacaan terhadap latar belakang dan personaliti pemimpin korporat bukan Melayu. Pemimpin korporat terlibat adalah mendiang Tan Sri Lim Goh Tong (Genting Highlands), Tan Sri Francis Yeoh (YTL) dan Dato’ Anthony Francis Fernandes (Air Asia).

3. Saya akan membuat pembentangan kertas kerja dalam dua seminar berikut:

a. Seminar Kebangsaan Kemahiran Insaniah & Kerja Sosial (SKIK) Anjuran Universiti Teknikal Melaka pada 24-26 Julai 2009. http://www.utem.edu.my/skiks2009/skiks_index.html

b. International Conference on Teaching & Learning in Higher Education (ICTLHE) Anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris pada 23-25 November 2009. http://ictlhe09.upsi.edu.my

Bagi seminar (a), saya akan menbentangkan tentang pendefinisian semula KI menurut perspektif majikan, pemimpin korporat dan orang awam selaku pengamal KI. Mungkin saya akan membuat sedikit perbandingan dengan konsep KI oleh KPT. Saya mohon pendapat Prof., bolehkah saya berbuat demikian dalam pembentangan tersebut?

Seminar (b) pula tidak mengkhusus dalam bidang KI. Seminar ini menjurus kepada pengajaran & pembelajaran di IPT secara umum dan sangat luas. Walaupun saya telah terlepas tarikh sebenar penghantaran abstrak, namun alhamdulillah saya telah diberi peluang bagi menyertai seminar tersebut sebagai pembentang dan mesti menghantar abstrak sebelum 30 Mei ini.

Justeru, saya mohon pendapat Prof., apa agaknya yang sesuai untuk saya bentangkan dalam seminar tersebut? Saya masih agak terkial-kial mencari skop yang sesuai untuk dibentangkan. Bolehkah saya memilih untuk membentangkan sesuatu berkaitan komunikasi intrapersonal dan interpersonal mahasiswa di IPT dan mengaitkannya secara terus dengan KI?

4. Mohon ulasan selanjutnya daripada Prof.

Terima kasih.
Wassalam.

Marniyati Mohd. Nor
13 Mei 2009

Prof. Emeritus Abdullah Hassan, MA (Mal), Ph.D. (Edin) said...

Assalamu alaikum Puan,

Sila beri laporan tentang kerja-kerja Puan terkini:

1. Mengumpul bahan,
2. menemu duga tokoh,
3. Menganalisis bahan
4. membuat laporan awal tentang bahan yang sudah dianalisis.

Wassalam