Thursday, May 8, 2008

Powerpoint untuk pembentangan cadangan penyelidikan

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Puan,

Sila sediakan powerpoint untuk pembentangan cadangan penyelidikan. Sila ikut peraturan berikut:

1. Gunakan hitam putih sahaja. Tidak ada warna-warni.
2. Tidak ada bunyi atau muzik.
3. Semua maklumat terpapar serentak. Semua kaku. Jangan ada yang tertangguh satu demi satu, atau bergerak-gerak.
4. Buat antara 8-10 bingkai sahaja.
5. Setiap bingkai mengandungi tidak lebih daripada 5 perkara.
6. Setiap perkara diberi nombor 1, 2, 3 dll, dan pecahan a. b. c. dll.
7. Setiap perkara tidak mengandungi lebih daripada 8 perkataan.
8. Tidak ada maklumat yang tidak berkaitan dengan penyelidikan.

Sekian, wassalam.

Prof. Abdullah Hassan

15 comments:

HBM Consultant said...

Maklumat difahami.
Terima kasih, Prof.

Marniyati Mohd. Nor
9 Mei 2008

HBM Consultant said...
This comment has been removed by the author.
HBM Consultant said...

Berikut adalah rumusan hasil temu bual bersama orang awam:



Soalan 1:
Apakah yang dimaksudkan dengan KI?

Majoriti responden mentafsirkan KI sebagai kemahiran berkomunikasi sama ada di tempat kerja ataupun dengan pelanggan. Ia termasuklah cara seseorang itu menghormati pelanggan dan sikap bersopan-santun sewaktu mengendalikan urusan pelanggan. Sebagai contoh KI yang dapat dilihat adalah senyum kepada pelanggan, sentiasa berwajah manis, mengucapkan terima kasih kepada pelanggan yang membuat bayaran, menghulurkan dokumen dan resit pembelian dengan sopan, senyum sambil tunduk atau mengangguk ketika menerima ucapan terima kasih daripada pelanggan, menggunakan kata panggilan yang betul dan sopan kepada pelanggan, mengajukan pertanyaan dengan berhemah, memberi penjelasan yang meyakinkan, menenangkan pelanggan yang sedang marah atau tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan, tidak mengeluh di hadapan pelanggan, menjawab panggilan telefon dengan mesra, tidak membiarkan pelanggan tertunggu lama di talian telefon dan tidak keberatan memohon maaf jika berlaku sebarang kesilapan.



Soalan 2:
Adakah KI dalam kalangan graduan sekarang teruk? Bagaimana pula dengan KI dalam kalangan masyarakat secara keseluruhannya?

Majoriti responden mengatakan KI graduan sememangnya lemah dan perlu diperbaiki. KI dalam kalangan masyarakat Malaysia juga semakin teruk kerana budi bahasa tidak lagi menjadi keutamaan ketika berkomunikasi.

Terdapat juga beberapa responden yang tidak bersetuju dengan pernyataan KI graduan lemah. Mereka berpendapat KI graduan tidak lemah tetapi adalah lebih baik sekiranya dapat dipertingkatkan lagi.



Soalan 3:
(Soalan untuk bukan muslim) Adakah KI seseorang dipengaruhi oleh budaya masyarakat timur?
(Soalan untuk muslim) Adakah KI seseorang dipengaruhi oleh ajaran agama Islam dan budaya masyarakat timur?

Semua responden menjawab ya bagi soalan ini. Responden berpendapat bahawa KI seseorang seharusnya didasari oleh budaya dan agama itu sendiri. Ini kerana budaya masyarakat Malaysia sendiri mementingkan adab sopan ketika berkomunikasi dengan orang lain. Kempen Budi Bahasa Budaya kita yang diperkenalkan di Malaysia sebagai bukti budaya bersopan santun sangat penting dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Begitu juga dalam agama Islam yang menggariskan umatnya agar sentiasa bermanis muka dengan orang lain, menghormati kawan mahupun lawan. Sebagai contoh, memberi salam atau ucap selamat kepada pelanggan, bermanis muka, lemah lembut berbicara dan tidak meninggikan suara adalah sebahagian daripada ajaran agama dan juga budaya masyarakat Malaysia.

Ada juga responden yang mengatakan bahawa ada sesetengah orang tersilap faham tentang budaya merendah diri dalam pergaulan seharian. Merendah diri adalah sebahagian daripada budaya masyarakat timur tetapi konsep merendah diri ini disalah tafsir sehingga menyebabkan seseorang hilang keyakinan diri. Merendah diri dalam erti kata tidak sombong dan membangga diri. Namun ada yang merendah diri sehingga tidak yakin untuk menyuarakan pandangan. Contohnya, seseorang yang baru bekerja berasa rendah diri dengan pekerja yang lebih senior menyebabkan dia tidak berani menyuarakan pandangannya.



Soalan 4:
Apakah unsur KI yang bersesuaian diajarkan di IPT bagi menangani masalah ini?

Hampir semua responden menyatakan bahawa semua mahasiswa perlu mengambil kursus berkaitan dengan komunikasi. Terdapat juga beberapa responden yang mencadangkan agar mahasiswa diberikan kursus khas berkaitan adab budaya masyarakat khususnya yang melibatkan pergaulan sehari-hari.

Mahasiswa perlu tahu bagaimana mengendalikan komunikasi di tempat kerja khususnya ketika berhubung dengan pelanggan. Perlakuan dan adab sopan ketika berkomunikasi perlu dititikberatkan. Responden mencadangkan mahasiswa diajar tentang:
1.Penggunaan kata panggilan yang betul dan sopan dalam komunikasi
2.Mengawal emosi ketika berhubung dengan pelanggan
3.Menjaga penampilan diri
4.Apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika berkomunikasi. Contohnya, adalah tidak sopan bercakap dengan pelanggan sambil mengunyah gula-gula getah.
5.Kesantunan berbahasa. Contohnya, apa perkataan yang boleh dan perkataan yang tidak boleh diucapkan ketika berkomunikasi dengan pelanggan, perkataan yang bagaimana yang dikategorikan sebagai bahasa kurang sopan dan apa kata sapaan yang sesuai digunakan ketika berkomunikasi.



Marniyati binti Mohd. Nor
13 Ogos 208

HBM Consultant said...

Berikut adalah rumusan hasil temu bual bersama 25 orang graduan:



Soalan 1:
Apakah yang anda faham tentang KI?

Majoriti graduan mentafsirkan KI sebagai kemahiran interpersonal. Sebilangan graduan pula mentafsirkan KI sebagai kemahiran berkomunikasi. Graduan berpendapat KI perlu ada pada seseorang yang ingin berjaya dalam kerjaya. Contoh KI yang diberikan adalah keyakinan diri, kebolehan berkomunikasi dengan baik tanpa mengira dengan siapa mereka berhubung, kebolehan bekerja secara berpasukan dan ketrampilan diri.

Tiga orang graduan yang ditemu bual berpendapat, pengangguran dalam kalangan graduan juga berpunca daripada kelemahan penguasaan bahasa Inggeris. Mereka mentafsirkan kelemahan menguasai bahasa (sama ada bahasa Melayu ataupun bahasa Inggeris) juga sebagai sebahagian kelemahan KI.



Soalan 2:
Apakah unsur-unsur KI mengikut pandangan anda?

Majoriti graduan menyatakan bahawa unsur terpenting dalam KI adalah komunikasi, khususnya komunikasi dalam bidang kerjaya atau komunikasi di tempat kerja. Mahasiswa perlu diajar bagaimana untuk berkomunikasi dengan baik kerana dalam sesebuah organisasi, seorang graduan itu berlu berinteraksi dengan pelbagai tahap pekerja, daripada yang berpangkat rendah hinggalah kepada majikan yang berjawatan tinggi. Mereka menyatakan bahawa perbezaan jawatan dalam sesebuah organisasi menyebabkan perlunya variasi dalam interaksi. Berkomunikasi dengan mereka yang berjawatan lebih tinggi tentu sahaja berbeza berbanding ketika berkomunikasi dengan mereka yang berjawatan rendah. Berikut adalah unsur KI mengikut pandangan graduan:
1. Kebolehan berkomunikasi.
2. Penampilan diri.
3. Keyakinan diri.
4. Kerja berpasukan.
5. Kefasihan berbahasa sama ada menggunakan bahasa Melayu atau Inggeris.
6. Bijak menjaga perhubungan dengan orang lain.
7. Bijak menyesuaikan diri dengan keadaan semasa (merujuk kepada masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia).



Soalan 3:
Apakah kandungan kursus kemahiran insaniah di IPT? Adakah KI yang diajar di IPT relevan dengan keperluan dunia kerjaya anda?

Majoriti graduan tidak pasti dengan perincian kandungan kursus KI di IPT mereka.

Graduan berpendapat KI perlu diajar di IPT supaya mereka dapat mengatasi kesukaran sewaktu berdepan dengan dunia kerjaya. Antara kesukaran yang sering dihadapi adalah kelemahan kosa kata perkataan tertentu dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris yang digunakan, kesukaran mengendalikan mesyuarat, kesukaran mengawal perbincangan, ketidakyakinan diri untuk menyatakan idea dan pendapat, kelemahan meyakinkan orang lain ketika membuat pembentangan kertas kerja dan tidak kurang juga dengan masalah penggunaan kata panggilan ketika berinteraksi.




Soalan 4:
Kursus apakah yang seharusnya dijadikan medium pengajaran kemahiran insaniah? Adakah KI wajar diterapkan dalam semua kursus yang diajar di IPT?

Pelbagai jawapan dan cadangan diberikan oleh graduan dan berikut adalah senarai kursus yang disarankan:
1. Kursus Komunikasi Khusus untuk Kerjaya.
2. Kursus KI.
3. Kursus Komunikasi.
4. Kursus Bahasa.

Majoriti graduan memberikan jawapan ‘tidak pasti’ kepada soalan ‘adakah KI wajar diterapkan dalam semua kursus yang diajar di IPT’. Namun, beberapa orang graduan menyatakan, adalah lebih baik jika KI diajar sebagai satu kursus khas.


Soalan 5:
Apakah maklumat dan kemahiran yang perlu ada pada setiap guru yang mengajar kemahiran insaniah ini? Pada pendapat anda, adakah semua guru boleh mengajar KI dengan baik?

Kebanyakan graduan menyarankan agar guru yang mengajar KI adalah guru yang mahir dalam bidang komunikasi. Sebilangan graduan pula menyarankan agar KI diajar oleh guru bahasa kerana bidang bahasa juga berkait rapat dengan bidang komunikasi. Pada pendapat mereka, KI dalam dunia kerjaya lebih banyak melibatkan perhubungan komunikasi antara majikan dengan pekerja, pekerja dengan pekerja dan pekerja dengan organisasi lain. Justeru, perhubungan yang efektif memerlukan kemahiran berkomunikasi yang baik. Oleh kerana kursus bahasa dan komunikasi lebih hampir menepati konsep KI, maka guru daripada kedua-dua bidang berkenaan adalah lebih relevan untuk mengajar KI berbanding dengan guru dari bidang kejuruteraan, sains, komputer dan lain-lain.

HBM Consultant said...
This comment has been removed by the author.
HBM Consultant said...

Berikut adalah temu bual dengan seorang ketua bahagian sumber manusia sebuah syarikat telekomunikasi:

Pada pendapat tuan, apakah sebenarnya tafsiran kemahiran insaniah?

Jika mengikut konteks firma kami, kemahiran insaniah atau soft skills merujuk kepada kemahiran berhubung. Apa perkataan yang sesuai? Berinteraksi. It’s all about how you deal with people.

Adakah ia sekadar cara seseorang berkomunikasi atau turut melibatkan tingkah laku? Boleh tuan berikan beberapa contoh?

Ia bukan sekadar cara kita berkomunikasi tapi bagaimana kita berdiri sebagai seorang yang out spoken. Bercakap dengan yakin. Boleh meyakinkan orang lain. Ada ilmu pengetahuan tentang apa yang kita cakapkan. Kadang-kadang keyakinan tu tidak datang dari apa yang kita katakan semata-mata, tetapi juga dari body language kita. Bercakap dengan senyum penuh yakin pun akan membuatkan orang berasa yakin dengan kita.

Sebagai majikan, apakah persepsi sebenar tuan terhadap kebolehan graduan yang baru mula bekerja?

Satu perkara yang sering dapat saya lihat ialah rasa tidak yakin dengan diri sendiri. Kebanyakan graduan ada masalah ini. Bila tak yakin, mereka tak boleh ke hadapan. Tak dapat menyampaikan idea dengan baik. Bila tak yakin, mereka ini akan takut-takut untuk berikan pandangan. Contohnya, dalam satu mesyuarat ada seorang pekerja baru yang tak berani langsung untuk bercakap. Dia berpendapat ‘aku orang baru, tak boleh memandai-mandai’. Ini salah. Pekerja baru seharusnya ada banyak idea yang lebih segar. Tapi sebab dia tak yakin dengan diri sendiri, dia tak dapat menyampaikan ideanya. Serupa juga bila kita buat pembentangan laporan di depan ketua. Kebanyakan graduan baru tak nampak yakin bila buat pembentangan. Nampak takut-takut. Idea tak sampai.

Satu lagi, kebanyakan graduan baru bukan jenis yang out spoken. Nak berurusan dengan pelanggan, dengan supplier pun takut-takut sedangkan interaksi tu penting dalam kerjaya di firma kami. Kami berurusan terus dengan pelanggan. Jadi semua pekerja mesti boleh berinteraksi dengan pelanggan. Tak boleh takut-takut atau malu-malu bila bercakap dengan pelanggan.

Pernahkah tuan mendapat komen daripada pelanggan tentang tingkah laku pekerja baru ketika berurusan dengan mereka?

Ada. Sebab tu kami akan berikan kursus khas untuk pekerja baru yang mula bekerja dengan firma ni.

Boleh berikan contoh kursus yang disediakan oleh firma ini?

Kursus yang disediakan berbeza-beza mengikut keperluan pekerja. Misalnya, jika pekerja tersebut diletakkan di kaunter pelanggan, dia akan diberikan latihan khas untuk berurusan dengan pelanggan. Mereka diajar bagaimana menjawab panggilan telefon, meredakan kemarahan pelanggan, memberikan penjelasan tentang masalah pelanggan dan sebagainya. Penekanan bukan saja diberikan pada perjalanan dan organisasi firma tapi juga kepada penampilan diri dan tingkah laku ketika melayan pelanggan. Dari sebesar isu hinggalah kepada perkara yang kecil seperti bagaimana berjabat tangan dan perlunya kita senyum kepada pelanggan. Kursus khas berkaitan pengurusan masa dan pengurusan stress juga ada kita sediakan. Kadang-kadang, kita tahu benda ni tapi kita lupa nak buat. Lupa nak senyum. Lupa nak ucap terima kasih. Tambahan pula bila ada tekanan dan masalah di tempat kerja hingga kita secara tak sengaja melepaskan geram pada pelanggan.


Adakah pekerja baru ini wajib mengikuti semua kursus?

Tidak juga. Ikut keperluan. Kadang-kadang kita belajar mengikut pengalaman. Ada juga pekerja baru yang bagus. Bukan semuanya lemah. Biasanya kami berikan masa. Bila dapat kesan kelemahan, kami tegur. Beri tunjuk ajar. Kalau ada keperluan, baru kami wajibkan mereka ikut kursus-kursus tertentu. Ikut keperluan dan kesesuaian bidang kerja masing-masing.

HBM Consultant said...

Maaf, Prof., temu bual bersama majikan rupanya ada yang tercicir. Ini sambungannya:

Pada pendapat tuan, adakah kemahiran insaniah ini berkait rapat dengan budaya masyarakat Malaysia?

Budaya. Ya, ada juga kaitannya. Budaya masyarakat kita menggalakkan kita mengamalkan sikap-sikap yang baik. Bersopan santun, berbudi bahasa, hormat-menghormati. Itu sebahagian daripada perlakuan yang perlu menjadi amalan ketika seorang pekerja berhubungan dengan pelanggan. Semua orang suka kalau kita senyum pada mereka, ucapkan terima kasih. Di Jepun, salah satu budaya budi bahasa mereka ialah dengan tunduk hormat. Ini adalah perkara asas. Tak perlu kursus khas pun kita dah tahu sebab ia sebahagian daripada budaya kita.


Ada pendapat mengatakan bahawa masyarakat Melayu adalah masyarakat yang pemalu. Mungkin malu merupakan satu faktor kekangan untuk graduan Melayu berani berinteraksi berbanding graduan bukan Melayu. Berdasarkan pengalaman tuan, adakah pernyataan ini benar?

Kalau nak dibuat perbandingan, memang ada beza antara graduan Melayu dengan bukan Melayu. Bukan semua graduan Melayu lemah, tapi kebanyakannya begitu. Graduan bukan Melayu lebih berani ke hadapan. Lebih out spoken. Lebih fleksibel dari segi kerja dan komitmen. Faktor malu bukan satu-satunya sebab kenapa keadaan ini terjadi. Banyak faktor lain. Antaranya rasa rendah diri, tak banyak pengetahuan tentang bidang kerjaya mereka, mungkin juga sebab rasa terlalu selesa dah dapat kerja. Ada sesetengah graduan Melayu tu, malas. Semuanya tunggu disuruh. Tak mahu bertanya. Kurang usaha dan tak mahu belajar benda-benda baru berbanding graduan bukan Melayu. Saya sendiri tak pasti kenapa situasi ini terjadi. Tapi bukan semua graduan Melayu macam tu. Ada juga yang bagus, lebih bagus daripada yang bukan Melayu.


Pada pendapat tuan, adakah IPT perlu menyediakan kursus khas tentang kemahiran insaniah ini kepada semua graduan?

Pada pendapat saya, itu bergantung pada keperluan. Maksud saya, mengikut bidang pengajian dan kerjaya graduan itu sendiri. Contohnya, kalau graduan tu seorang yang bakal bekerja dengan mesin, atau sebagai programmer komputer dan sebagainya yang tidak memerlukan dia berhubung secara langsung dengan pelanggan, mungkin dia hanya perlukan kursus yang asas sahaja. Contohnya, mungkin dia perlu belajar bagaimana untuk buat pembentangan di depan majikan tapi mungkin tak perlu sangat belajar tentang bagaimana hendak melayan kerenah pelanggan di kaunter-kaunter perkhidmatan. Semua tu bergantung kepada bidang kerjaya yang bakal diceburi. Ada bezanya bagi setiap bidang kerjaya.

HBM Consultant said...

LAPORAN PEMERHATIAN 1

Lokasi: Karnival Pekerjaan dan Kerjaya Kebangsaan (Jobs Malaysia)
Tarikh: 22 dan 23 November 2008
Tempat: Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur

Karnival ini adalah anjuran Jabatan Tenaga Kerja Malaysia, Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU). Karnival ini melibatkan 104 majikan sektor swasta dan agensi kerajaan. Lebih 25 ribu jawatan kosong ditawarkan termasuk 14, 316 jawatan dalam kategori ‘quality job’. Lebih 20 ribu iklan jawatan kosong milik firma yang tidak dapat menyertai karnival tersebut dipaparkan pada papan kenyataan di ruang legar (bahagian luar) dewan karnival. Hampir semua majikan yang menyertai karnival ini mengadakan sesi temuduga terbuka kepada pengunjung yang berminat untuk mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan.

Saya telah menghadiri 24 sesi temuduga yang melibatkan 3 sektor swasta dan 1 agensi kerajaan. Sebelum menyertai sesi temuduga tersebut, saya telah membuat sesi temubual bersama pegawai penemuduga yang terlibat. Kebanyakan mereka telah memiliki persepsi mereka sendiri terhadap calon yang bakal ditemuduga. Mereka berpendapat, calon yang fasih berbahasa Inggeris, memiliki pengalaman kerja dalam bidang berkaitan atau sekurang-kurangnya memiliki kelayakan akademik dalam bidang berkaitan adalah lebih baik. Mereka juga membuat penilaian berasaskan penampilan, bahasa badan dan keyakinan calon ketika ditemuduga.

Hasilnya, terdapat perbezaan kaedah dan soalan yang ditanyakan kepada calon yang ditemuduga. Perbezaan ini mungkin berlaku akibat daripada persepsi awal tadi. Sebagai contoh, calon yang berlatarbelakangkan bidang aero angkasa dan berpengalaman bekerja dalam bidang tersebut mendapat layanan dan soalan yang lebih mesra berbanding calon yang datang dari latar belakang yang serupa tetapi tiada pengalaman bekerja.

Dalam salah satu temuduga terbuka pula, calon yang datang tanpa kelayakan yang ditetapkan akan mendapat layanan secara sederhana berbanding dengan calon yang menepati kriteria jawatan yang ditawarkan. Sebagai contoh, bagi jawatan Pegawai Perhubungan Awam, calon yang memiliki kelulusan dalam bidang berkaitan komunikasi dan fasih berbahasa Inggeris mendapat layanan dan soalan yang lebih baik berbanding calon yang tidak memiliki kedua-dua kriteria tersebut.

Saya juga dapat mengesan perbezaan layanan yang agak ketara terhadap calon yang tidak fasih berbahasa Inggeris dengan calon yang boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Kebiasaannya, soalan untuk calon yang tidak fasih berbahasa Inggeris adalah terhad dan sesi temuduga juga menjadi lebih singkat. Walau bagaimanapun, situasi ini tidak berlaku di agensi kerajaan kerana sesi temuduga dijalankan sepenuhnya dalam bahasa Melayu.

Sepanjang 24 sesi temuduga yang saya sertai, tidak terdapat perbezaan ketara dalam layanan antara calon bumiputera dengan calon bukan bumiputera. Perbezaan layanan hanya kelihatan apabila calon yang ditemuduga tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan untuk memohon jawatan yang tersedia.

Prof. Emeritus Abdullah Hassan, MA (Mal), Ph.D. (Edin) said...

Assalamu alaikum warah matullahi wabarakatuh,

Puan Marniyati,

Saya sudah membaca entri 23 Disember 2008. Input ini adalah bagus. Pastikan catatan Puan mengenai setiap peristiwa itu adalah detel.

Sila gunakan perkataan 'hendak' menggantikan 'nak'.

Biasakan menulis dalam bentuk rapi.

Sila mulakan menulis analisis rakaman interviu ini.

Bincangkan dengan saya kaedah yang Puan gunakan.

Sila juga cari buku research methodology yang menganalisis interviu begini.

Juga tanyakan kepada bahagian sumber manusia jabatan berkenaan sama ada kerajaan atau swasta, apa 'battery' soalan yang digunakan, dan bagaimana mereka memberi markah penilaian.

Juga buat kajian tentang analisis kandungan (content analysis).

Prof. Abdullah

HBM Consultant said...

Terima kasih, Prof.

Makluman diterima dan akan diusahakan, Insyaallah. Semoga Allah permudahkan segala urusan.

Marniyati Mohd. Nor
2 Januari 2009

HBM Consultant said...

ANALISIS DATA (LAPORAN AWAL)

1. PENGENALAN

Penyelidikan ini menggunakan reka bentuk penyelidikan deskriptif yang bersesuaian dengan matlamat penyelidikan bagi meneroka dan menghuraikan bidang ilmu kemahiran insaniah.

Kaedah yang digunakan adalah kaedah tinjauan yang bertepatan dengan matlamat bagi mendapatkan maklumat keseluruhan tentang situasi yang khusus melibatkan bidang kemahiran insaniah. Dua jenis kaedah tinjauan yang digunakan adalah:
a. kajian rentas bagi populasi dan sampel yang besar.
b. kajian panel pakar bagi populasi dan sampel yang kecil.

Tiga instrumen telah dijadikan sebagai alat utama penyelidikan ini, iaitu soal selidik, temu bual dan pemerhatian. Set soal selidik disediakan khusus untuk graduan. Alat kajian ini digunakan memandangkan saiz populasi graduan yang sangat besar sehingga memerlukan masa yang banyak bagi mendapatkan data melalui kaedah lain. Kaedah paling mudah untuk mendapatkan data yang banyak daripada saiz populasi yang besar ini adalah dengan mengedarkan borang soal selidik untuk diisi oleh subjek.

Sesi temu bual pula dijalankan ke atas semua kelompok subjek. Walau bagaimanapun, temu bual terhadap kelompok graduan dijalankan secara terhad kepada graduan yang terpilih sahaja (tidak melibatkan semua subjek yang mengisi borang soal selidik). Sungguhpun ia terhad berdasarkan tahap sukarela subjek untuk ditemu bual, namun penyelidik akan cuba untuk mendapatkan seberapa banyak subjek untuk sesi tersebut bagi mendapatkan seberapa banyak data kualitatif. Temu bual ini penting bagi mengelakkan subjek terikat dengan pilihan jawapan yang diberikan melalui borang soal selidik yang diisi sebelumnya.

Instrumen ketiga iaitu pemerhatian pula dibuat untuk mengkaji interaksi yang kompleks dalam situasi yang sebenar. Kaedah ini melibatkan pemerhatian terhadap tingkah laku majikan sewaktu menjalankan pemilihan untuk mengambil pekerja, tingkah laku graduan yang memohon pekerjaan dan juga personaliti yang terpilih dalam penyelidikan ini. Penyelidik menggunakan kaedah pemerhatian bagi mendapatkan rakaman peristiwa dan perlakuan subjek secara langsung. Pemerhatian memungkinkan penyelidik mendapat maklumat yang lebih bersifat semula jadi. Kaedah ini membantu penyelidik mendapatkan maklumat dan interpretasi dari sudut pandangan berbeza serta tidak bergantung kepada maklumat dan pendapat subjek semata-mata.

Ketiga-tiga instrumen ini digunakan sebagai alat yang bertindak saling melengkapi dalam penyelidikan ini. Ia digunakan bagi menjawab semua soalan kajian, iaitu:

a. Apakah sebenarnya kemahiran insaniah?
b. Apakah tafsiran kemahiran insaniah bagi organisasi, graduan, universiti dan orang awam?
c. Apakah unsur-unsur kemahiran insaniah dan unsur apakah yang bersesuaian diterapkan dalam sukatan pelajaran di IPT?
d. Apakah kandungan kursus kemahiran insaniah di IPT?
e. Kursus apakah yang seharusnya dijadikan medium pengajaran kemahiran insaniah?
f. Apakah maklumat dan kemahiran yang perlu ada pada setiap guru yang mengajar kemahiran insaniah ini?
g. Mengapa majikan masih perlu mengadakan latihan dan kursus kepada graduan apabila mereka memasuki alam kerjaya?
h. Apakah persepsi sebenar majikan terhadap kebolehan graduan yang baru mula bekerja?
i. Apakah masalah yang dihadapi oleh majikan berhubung kemahiran insaniah dalam kalangan graduan?
j. Apakah kursus yang disediakan oleh majikan untuk graduan yang baru mula bekerja dan mengapa mereka perlu mengikuti kursus tersebut?

Analisis data bagi menjawab soalan-soalan di atas akan dibuat mengikut 4 kategori sasaran penyelidikan iaitu analisis data daripada graduan, analisis data daripada orang awamselaku pengguna perkhidmatan, analisis data daripada majikan yang mengambil pekerja dan analisis data daripada pengajar ilmu kemahiran insaniah itu sendiri.

2. ANALISIS DATA GRADUAN

Data graduan diperoleh daripada set borang soal selidik yang diedarkan. Borang soal selidik ini terbahagi kepada 3 bahagian seperti berikut:
a. Bahagian maklumat demografik graduan terdiri daripada 10 soalan.
b. Bahagian maklumat kerjaya graduan terdiri daripada 12 soalan.
c. Bahagian pandangan graduan terhadap KI terdiri daripada 16 pilihan unsur KI dan 12 item persepsi graduan.

Penyelidik juga menggunakan kaedah temu bual bagi mendapatkan maklumat tambahan. Walau bagaimanapun, temu bual terhadap kelompok graduan dijalankan secara terhad kepada graduan yang terpilih sahaja (tidak melibatkan semua subjek yang mengisi borang soal selidik).

Soal selidik dan temu bual yang dijalankan ke atas graduan yang terlibat akan menjawab soalan-soalan berikut:
a. Apakah tafsiran kemahiran insaniah bagi graduan?
b. Apakah unsur-unsur kemahiran insaniah dan unsur apakah yang bersesuaian diterapkan dalam sukatan pelajaran di IPT?
c. Apakah kandungan kursus kemahiran insaniah di IPT?
d. Kursus apakah yang seharusnya dijadikan medium pengajaran kemahiran insaniah?
e. Apakah maklumat dan kemahiran yang perlu ada pada setiap guru yang mengajar kemahiran insaniah ini?

Sebanyak 700 borang soal selidik telah diedarkan di dua buah IPT sempena majlis konvokesyen sesi 2008/2009 pada bulan Ogos yang lalu. Dari 700 borang yang diedarkan, sebanyak 688 set borang yang lengkap diisi telah berjaya dikumpul semula. 418 orang iaitu sebanyak 61% daripadanya melibatkan graduan lelaki dan 270 orang iaitu sebanyak 39% adalah graduan wanita.

Daripada 688 orang graduan yang terlibat, 378 orang adalah graduan Melayu, 198 orang adalah graduan Cina dan selebihnya, iaitu 112 orang adalah graduan berbangsa India. Pecahan graduan mengikut peratusan dapat dilihat dalam Carta 1 berikut:


Carta 1: Bangsa Graduan

Kesemua graduan ini terdiri daripada 255 orang graduan bidang Pengurusan, 212 orang graduan bidang Kejuruteraan dan 221 orang graduan bidang Teknologi Maklumat. Pecahan graduan mengikut peratusan adalah seperti yang ditunjukkan dalam Carta 2.


Carta 2: Bidang Pengajian Graduan

Berdasarkan maklum balas yang diterima, seramai 543 orang iaitu sebanyak 78.9% daripada graduan yang terlibat dengan penyelidikan ini telahpun bekerja. Walau pun 145 orang graduan selebihnya masih belum mendapat pekerjaan, namun maklum balas mendapati tidak ada seorang graduan pun yang tidak pernah melalui sesi temuduga mendapatkan kerja. Seramai 313 orang iaitu 45.5% daripada graduan terlibat pernah melalui sesi temuduga kerja sekurang-kurangnya sekali, manakala graduan selebihnya mengakui pernah melalui dua hingga tiga kali sesi temuduga kerja.

Justeru, dapatlah dikatakan bahawa pendapat dan pandangan graduan yang terlibat adalah bersesuaian dan boleh digunakan dalam penyelidikan ini. Pengalaman graduan terlibat dalam menghadapi keperluan bakal majikan dan kesukaran yang dihadapi oleh mereka ketika mendapatkan pekerjaan akan dapat membantu menjawab persoalan-persoalan berkaitan kemahiran insaniah dalam penyelidikan ini.

Beralih kepada bahagian seterusnya dalam soal selidik yang diedarkan, graduan telah diberikan senarai 16 elemen kemahiran insaniah untuk mereka membuat pilihan berdasarkan pengalaman temuduga dan pengalaman kerjaya mereka. Kesemua 16 elemen ini diperoleh daripada sumber literatur penyelidikan. Berikut adalah hasil pilihan graduan terlibat:

BIL. UNSUR KI MIN
1. Intrapersonal 4.81
2. Interpersonal 4.77
3. Ketrampilan diri 4.76
4. Bijak mengawal emosi dan tekanan 4.74
5. Bermotivasi dalam apa juga situasi 4.74
6. Semangat kerja berpasukan 4.70
7. Menjaga perhubungan dengan semua orang 4.70
8. Beretika & berintegriti 4.70
9. Keyakinan diri 4.65
10. Kefasihan berbahasa Inggeris 4.04
11. Keusahawanan 3.47
12. Dokumen permohonan kerja yang menarik 3.46
13. Kemahiran ICT 3.45
14. Kemahiran menyelesaikan masalah 3.42
15. CGPA yang tinggi 3.41
16. Kemahiran berbahasa asing (contoh: Mandarin, Arab dan sebagainya) 1.42

Jadual 1: Unsur-unsur KI Mengikut Susunan Kekerapan Pilihan Graduan

Berdasarkan Jadual 1 ini, dapat dilihat dengan jelas bahawa kemahiran intrapersonal dan interpersonal yang mendasari teori dan kerangka penyelidikan ini menjadi pilihan utama graduan. Ini bertepatan dengan maklum balas yang diberikan oleh graduan melalui sesi temu bual yang dijalankan. Maklum balas daripada sesi temu bual mendapati, majoriti graduan mentafsirkan KI sebagai kemahiran interpersonal. Sebilangan graduan pula mentafsirkan KI sebagai kemahiran berkomunikasi. Graduan berpendapat KI perlu ada pada seseorang yang ingin berjaya dalam kerjaya. Contoh KI yang diberikan adalah keyakinan diri, kebolehan berkomunikasi dengan baik tanpa mengira dengan siapa mereka berhubung, kebolehan bekerja secara berpasukan dan ketrampilan diri.

Terdapat juga graduan yang berpendapat, pengangguran dalam kalangan graduan juga berpunca daripada kelemahan penguasaan bahasa Inggeris. Mereka mentafsirkan kelemahan menguasai bahasa (sama ada bahasa Melayu ataupun bahasa Inggeris) juga sebagai sebahagian kelemahan KI. Dalam hasil soal selidik yang diedarkan, didapati sebanyak 61.8% graduan melalui sesi temuduga dalam bahasa Inggeris dan 38.2% melalui temuduga dalam bahasa Melayu. Walau bagaimana pun, dalam Jadual 1 di atas, kefasihan berbahasa Inggeris menjadi pilihan kesepuluh dalam urutan pilihan graduan mengikut keutamaan. Keadaan ini mungkin terjadi kerana hasil soal selidik menunjukkan bahawa 93.6% graduan bekerja dengan syarikat swasta milik tempatan, 3.7% bekerja di sektor kerajaan dan 2.7% bekerja sendiri. Justeru, kepentingan berbahasa Inggeris di tempat kerja tidaklah sepenting jika graduan ini bekerja dengan syarikat milik negara luar di Malaysia.

Jika dilihat dalam Jadual 1 juga, kebanyakan graduan menetapkan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) bukan sebagai pilihan utama mereka kerana ia jarang ditanyakan oleh bakal majikan dalam mana-mana sesi temuduga. Rasionalnya, graduan yang dipanggil untuk sesi temuduga sudah pasti melalui sesi saringan terlebih dahulu dan bakal majikan semestinya telah memastikan bahawa graduan yang menghadiri temuduga tersebut adalah graduan yang berjaya melepasi standard nilai CGPA yang mereka tetapkan. Ketika sesi temuduga kerja dijalankan, soalan berkaitan CGPA sememangnya jarang ditanya kerana ia telah diketahui oleh bakal majikan.

Begitu juga dengan elemen kemahiran berbahasa asing yang tersenarai dalam jadual tersebut. Elemen ini tidak menjadi pilihan graduan kerana mereka berpendapat isu kemahiran berbahasa asing ini sebagai isu terpencil. Rasionalnya, mereka tidak akan memohon jawatan yang diiklankan dengan kemahiran berbahasa asing sebagai prasyarat bekerja. Justeru, elemen ini juga tidak ditanyakan dalam sesi temuduga dan tidak dianggap penting oleh para graduan terlibat.

Dalam sesi temu bual susulan, majoriti graduan menyatakan bahawa unsur terpenting dalam KI adalah komunikasi, khususnya komunikasi dalam bidang kerjaya atau komunikasi di tempat kerja. Ini menepati pilihan graduan dalam Jadual 1 kerana komunikasi adalah elemen utama dalam kemahiran intrapersonal dan interpersonal. Merujuk kepada item 2 dalam bahagian ketiga borang soal selidik yang diedarkan, didapati sebanyak 79% graduan sangat bersetuju bahawa KI adalah kemahiran berkomunikasi.

Graduan juga berpendapat bahawa mahasiswa perlu diajar bagaimana untuk berkomunikasi dengan baik kerana dalam sesebuah organisasi, seorang graduan itu berlu berinteraksi dengan pelbagai tahap pekerja, daripada yang berpangkat rendah hinggalah kepada majikan yang berjawatan tinggi. Mereka menyatakan bahawa perbezaan jawatan dalam sesebuah organisasi menyebabkan perlunya variasi dalam interaksi. Berkomunikasi dengan mereka yang berjawatan lebih tinggi tentu sahaja berbeza berbanding ketika berkomunikasi dengan mereka yang berjawatan rendah. Berdasarkan item 7 dan 8 dalam borang soal selidik, didapati sebanyak 76% graduan bersetuju menyatakan bahawa KI boleh dinilai melalui percakapan dan tingkah laku.

Berikut adalah unsur KI mengikut pandangan graduan yang ditemu bual:
1. Kebolehan berkomunikasi.
2. Penampilan diri.
3. Keyakinan diri.
4. Kerja berpasukan.
5. Kefasihan berbahasa sama ada menggunakan bahasa Melayu atau Inggeris.
6. Bijak menjaga perhubungan dengan orang lain.
7. Bijak menyesuaikan diri dengan keadaan semasa khususnya dalam menangani faktor silang budaya masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.

Dalam soal selidik yang diedarkan, item 10 mendapati sebanyak 80.2% graduan berpendapat bahawa KI itu berbeza mengikut bidang kerjaya. Sebagai contoh, kerjaya yang memerlukan pekerja hanya berhadapan dengan operasi mesin sahaja sudah pasti tidak memerlukan KI yang tinggi berbanding dengan pekerja yang bertugas sebagai Pegawai Perhubungan Awam yang perlu sentiasa berhubung dengan pelanggan. Pendapat ini disokong melalui dapatan item 11 dalam borang soal selidik apabila sebanyak 15% graduan menyatakan bahawa kerjaya mereka tidak memerlukan mereka memiliki KI.

Walau bagaimanapun, graduan tetap bersetuju sekiranya KI diajar di IPT sebagai persediaan awal sebelum melangkah ke dunia kerjaya. Berdasarkan maklum balas dalam item 9 borang soal selidik, didapati sebanyak 80.2% graduan bersetuju dengan pernyataan bahawa KI telah membantu mereka mendapatkan pekerjaan. Melalui item 12 dalam borang soal selidik pula, didapati sebanyak 17% graduan bersetuju bahawa majikan telah menghantar mereka mengikuti kursus berkaitan KI sebaik sahaja mereka mula bekerja. Ini membuktikan bahawa majikan juga menyedari tentang pentingnya KI dalam menangani kesukaran sewaktu berdepan dengan cabaran dunia kerjaya.

Kesukaran yang sering dihadapi graduan ketika memulakan kerja adalah kelemahan kosa kata perkataan tertentu dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris yang digunakan, kesukaran mengendalikan mesyuarat, kesukaran mengawal perbincangan, ketidakyakinan diri untuk menyatakan idea dan pendapat, kelemahan meyakinkan orang lain ketika membuat pembentangan kertas kerja dan tidak kurang juga dengan masalah penggunaan kata panggilan ketika berinteraksi. Graduan juga berpendapat bahawa budaya juga adalah elemen yang penting dalam KI. Ini kerana faktor silang budaya masyarakat berbilang bangsa di Malaysia memerlukan graduan bersikap terbuka dan bertolak ansur dalam menerima dan memahami perbezaan yang wujud. Melalui item 5 dan 6 dalam borang soal selidik, didapati seramai 83% graduan sangat bersetuju dengan pernyataan bahawa interaksi dan budaya adalah elemen terpenting KI.

Melalui sesi temu bual yang dijalankan, majoriti graduan memberikan jawapan ‘tidak pasti’ kepada soalan ‘adakah KI wajar diterapkan dalam semua kursus yang diajar di IPT’. Walau bagaimanapun, merujuk kepada item 1 dalam borang soal selidik, hanya 22.7% graduan bersetuju KI diajar dalam semua kursus di IPT manakala 63.4% graduan tidak pasti sama ada KI perlu diajar dalam semua kursus di IPT. Dalam item 3 pula, sebanyak 80.2% graduan bersetuju KI diajar secara khusus dalam kursus bahasa dan komunikasi. Graduan yang ditemu bual juga menyatakan, adalah lebih baik jika KI diajar sebagai satu kursus khas.

Justeru, graduan telah mencadangkan agar kursus-kursus yang khusus mengajarkan KI diperkenalkan di IPT. Berikut adalah senarai kursus yang dicadangkan oleh graduan:

1. Kursus Komunikasi Khusus untuk Kerjaya.
2. Kursus KI.
3. Kursus Komunikasi.
4. Kursus Bahasa.

Kebanyakan graduan menyarankan agar guru yang mengajar KI adalah guru yang mahir dalam bidang komunikasi. Sebilangan graduan pula menyarankan agar KI diajar oleh guru bahasa kerana bidang bahasa juga berkait rapat dengan bidang komunikasi. Pada pendapat mereka, KI dalam dunia kerjaya lebih banyak melibatkan perhubungan komunikasi antara majikan dengan pekerja, pekerja dengan pekerja dan pekerja dengan organisasi lain. Justeru, perhubungan yang efektif memerlukan kemahiran berkomunikasi yang baik. Oleh kerana kursus bahasa dan komunikasi lebih hampir menepati konsep KI, maka guru daripada kedua-dua bidang berkenaan adalah lebih relevan untuk mengajar KI berbanding dengan guru dari bidang kejuruteraan, sains, komputer dan lain-lain.

3. ANALISIS DATA MAJIKAN DAN ORGANISASI

Penyelidik menggunakan kaedah temu bual bagi mendapatkan maklumat daripada majikan dan organisasi yang dipilih. Majikan di sini merujuk kepada pemilik sesebuah firma manakala organisasi merujuk kepada bahagian sumber manusia yang mengendalikan urusan pengambilan dan penilaian pekerja mereka.

Penyelidik juga menjalankan aktiviti pemerhatian ke atas tingkah laku bakal majikan dalam beberapa siri temuduga terbuka yang diadakan. Tujuan pemerhatian ini dilakukan adalah bagi mendapatkan rakaman peristiwa dan perlakuan bakal majikan secara langsung. Melalui teknik ini, penyelidik cuba mendapatkan gambaran sebenar apa yang berlaku antara majikan dengan graduan dan cuba membuat interpretasi dari sudut pandangan berbeza. Aktiviti ini juga dapat mengelakkan penyelidik bergantung kepada maklumat dan pendapat majikan semata-mata.

Temu bual dan pemerhatian yang dijalankan ke atas majikan dan organisasi yang terlibat akan menjawab soalan-soalan berikut:
a. Apakah tafsiran kemahiran insaniah?
b. Mengapa majikan masih perlu mengadakan latihan dan kursus kepada graduan apabila mereka memasuki alam kerjaya?
c. Apakah persepsi sebenar majikan terhadap kebolehan graduan yang baru mula bekerja?
d. Apakah masalah yang dihadapi oleh majikan berhubung kemahiran insaniah dalam kalangan graduan?
e. Apakah kursus yang disediakan oleh majikan untuk graduan yang baru mula bekerja dan mengapa mereka perlu mengikuti kursus tersebut?

Sebanyak enam temu bual melibatkan 4 buah firma telah dijalankan. Hampir kesemuanya memberikan maklum balas dan kerjasama yang positif kepada penyelidik. Firma yang terlibat adalah 2 buah syarikat telekomunikasi, sebuah pasar raya dan sebuah syarikat kewangan yang beroperasi di sekitar Lembah Klang.

Tafsiran kemahiran insaniah dalam kalangan majikan yang ditemu bual kelihatan tidak jauh berbeza meskipun fungsi firma yang terlibat dalam penyelidikan ini tidak sama. Bagi 2 buah syarikat telekomunikasi, kemahiran insaniah didefinisikan sebagai kemahiran berhubung, iaitu bagaimana seseorang itu berinteraksi dengan orang lain. Bagi majikan di sebuah pasar raya pula, kemahiran insaniah merujuk kepada kemahiran komunikasi interpersonal terutamanya yang melibatkan hubungan dengan pelanggan. Bagi majikan sebuah syarikat kewangan yang ditemu bual, kemahiran insaniah dirujuk kepada kebolehan pekerja menangani tugasan yang diberikan, kebolehan menguruskan diri sendiri dan juga kebolehan menjaga hubungan baik dengan orang lain, khususnya pelanggan. Ringkasnya, kemahiran insaniah dikaitkan secara langsung dengan interaksi sama ada antara pekerja dengan pekerja mahupun antara pekerja dengan pelanggan. Berikut adalah contoh kemahiran insaniah yang boleh dinilai melalui percakapan seseorang:
a. Tidak cepat marah.
b. Tidak menggunakan bahasa kesat.
c. Tidak meninggikan suara.
d. Menggunakan bahasa yang lembut, sopan dan meyakinkan.
e. Memberi salam bagi yang beragama Islam dan ucapan sejahtera bagi yang bukan Islam.

Majikan berpendapat, kemahiran insaniah bukan sekadar cara seseorang berkomunikasi tetapi juga bagaimana seseorang itu berdiri sebagai individu yang boleh bercakap dengan yakin, boleh meyakinkan orang lain dan mahir dengan apa yang dicakapkan. Ini bermaksud, seseorang itu perlu memiliki ilmu pengetahuan yang cukup berkaitan dengan bidang tugas masing-masing. Di pihak majikan ini, mereka berpendapat bahawa keyakinan tu tidak datang dari apa yang dikatakan semata-mata, tetapi juga dari bahasa badan seseorang.

Juateru, majikan yang terlibat juga bersetuju dengan pernyataan bahawa kemahiran insaniah tidak semestinya boleh dinilai melalui percakapan semata-mata. Kemahiran insaniah juga boleh dinilai melalui tingkah laku seseorang. Mereka turut menyenaraikan tingkah laku yang berkaitan dengan kemahiran insaniah dari perspektif mereka seperti berikut:
a. Memberi senyuman.
b. Tunduk hormat.
c. Membantu membukakan pintu khususnya kepada warga emas dan warga kurang upaya.
d. Memberi laluan mudah kepada warga yang memerlukan.
e. Berpenampilan kemas dan bersih.
f. Menepati masa.
g. Disiplin dan boleh merancang jadual kerja.
h. Berdikari dan tidak mengharapkan bantuan orang lain.

Apabila ditanya tentang pendapat majikan tentang persepsi mereka terhadap graduan yang baru mula bekerja, kebanyakan mereka menyatakan bahawa terdapat sebahagian graduan yang kurang rasa yakin dengan diri sendiri. Keadaan ini biasanya berlaku ke atas graduan yang tiada pengalaman bekerja. Rasa kurang keyakinan diri ini akan menyebabkan mereka gagal menyampaikan idea dengan baik dan tidak berani mengutarakan pandangan. Terdapat juga majikan yang menganggap kebanyakan graduan baru bukan jenis yang ‘out spoken’ sedangkan interaksi adalah sangat penting dalam kerjaya di firma mereka yang berorientasikan pelanggan. Walau bagaimanapun, majikan juga menyatakan bahawa kebiasaannya graduan ini tidak bermasalah untuk menyesuaikan diri. Pengalaman bekerja akan membantu mereka meningkatkan keyakinan diri.

Selain pengalaman sendiri, sesetengah majikan pula menyediakan kursus berkaitan kemahiran insaniah kepada graduan yang baru mula bekerja. Walau bagaimanapun, kursus yang ditawarkan berbeza-beza mengikut keperluan dan kebolehan sedia ada pekerja itu sendiri. Misalnya, jika pekerja tersebut diletakkan di kaunter pelanggan, dia akan diberikan latihan khas untuk berurusan dengan pelanggan. Mereka diajar bagaimana menjawab panggilan telefon, meredakan kemarahan pelanggan, memberikan penjelasan tentang masalah pelanggan dan sebagainya. Penekanan bukan saja diberikan pada perjalanan dan organisasi firma tapi juga kepada penampilan diri dan tingkah laku ketika melayan pelanggan. Dari sebesar isu hinggalah kepada perkara yang kecil seperti bagaimana berjabat tangan dan perlunya kita senyum kepada pelanggan. Kursus khas berkaitan pengurusan masa dan pengurusan stress juga ada disediakan.

Terdapat juga majikan yang menyediakan kursus khas untuk latihan graduan yang bakal bekerja dengan mereka. Sebuah syarikat telekomunikasi misalnya, menyediakan Program Latihan Graduan untuk tempoh selama setahun sebelum graduan tersebut benar-benar berkhidmat dengan mereka. Bagi tempoh 6 bulan pertama program tersebut, graduan akan diberikan latihan yang menjurus kepada situasi sebenar pekerjaan yang bakal mereka ceburi. Mereka akan dilatih dengan persekitaran syarikat, disiplin diri, pembangunan personaliti dan juga sahsiah diri. Selain itu, mereka juga berpeluang menyertai program ‘team building’ dan kem kepimpinan. Bagi tempoh 6 bulan selanjutnya, mereka akan diberikan latihan secara praktikal di mana-mana bahagian yang bersesuaian dengan kelayakan akademik mereka. Majikan yang menyediakan kursus ini berpendapat, graduan yang belajar melalui pengalaman akan lebih cepat meningkatkan keupayaan diri berbanding belajar melalui pembacaan. Majikan ini turut berpendapat, graduan telah memiliki kemahiran insaniah melalui apa yang dipelajari sejak di bangku sekolah. Program yang diperkenalkan ini hanya untuk menggilap kebolehan sedia ada agar graduan lebih yakin memulakan kerjaya mereka.

Kebanyakan majikan pula menyediakan kursus mengikut keperluan pekerja dan kesesuaian kursus dengan bidang kerja masing-masing. Sebagai contoh, ada pekerja yang layak untuk kenaikan pangkat berdasarkan pencapaian kerjanya tetapi agak lemah penguasaan bahasa Inggeris menyebabkan hubungan komunikasi antara pekerja tersebut dengan pelanggan agak terganggu. Jadi, kursus khas berkaitan penguasaan bahasa Inggeris akan diberikan kepada pekerja tersebut. Namun, kebanyakan pekerja dapat belajar melalaui pengalaman dan tunjuk ajar ketua serta rakan sekerja.

Kesemua majikan yang ditemu bual bersetuju apabila penyelidik cuba mengaitkan kemahiran insaniah dengan budaya masyarakat Malaysia. Mereka berpendapat, budaya masyarakat Malaysia menggalakkan semua orang mengamalkan sikap-sikap yang baik terutamanya bersopan santun, berbudi bahasa dan hormat-menghormati yang sudah pasti wajib menjadi amalan ketika seorang pekerja berhubungan dengan sesiapa sahaja.

Apabila penyelidik bertanya tentang perbezaan graduan bumiputera dengan graduan bukan bumiputera, beberapa orang majikan telah memberikan pandangan yang berbeza-beza berdasarkan pengalaman masing-masing. Ada majikan berpendapat graduan bukan bumiputera berani ke hadapan, lebih out spoken serta lebih fleksibel dari segi kerja dan komitmen. Mereka berpendapat, faktor malu bukan satu-satunya sebab kenapa keadaan ini terjadi. Ia mungkin berpunca daripada rasa rendah diri, tidak banyak pengetahuan tentang bidang kerjaya mereka dan mungkin juga kerana telah terlalu selesa dengan kerjaya yang dimiliki.Mereka juga berpendapat, ada sesetengah graduan yang malas, tidak pandai berdikari dan bersikap tidak berusaha untuk belajar memperbaiki diri.

Walau bagaimanapun, persepsi ini tidak dipersetujui oleh beberapa majikan yang lain. Mereka menyatakan bahawa, tidak terdapat sebarang perbezaan yang ketara antara graduan bumiputera dengan graduan bukan bumiputera. Kebanyakan graduan yang belum memiliki pengalaman bekerja memiliki sifat dan sikap yang tidak jauh berbeza. Hakikatnya, mereka perlu diberikan ruang dan masa untuk membina keyakinan diri dan personaliti seperti yang diingini majikan masing-masing.

Majikan yang ditemu bual juga berpendapat, sebarang bentuk kursus berkaitan kemahiran insaniah di IPT wajar mengambil kira keperluan bidang pengajian dan keperluan bidang kerjaya graduan itu sendiri. Sebagai contoh, sekiranya graduan tersebut adalah seorang yang bakal bekerja dengan mesin, atau sebagai programmer komputer dan sebagainya yang tidak memerlukan dia berhubung secara langsung dengan pelanggan, mungkin dia hanya memerlukan kursus asas sahaja. Contoh kursus yang dikategorikan sebagai asas adalah kursus berkaitan bagaimana membuat pembentangan di hadapan majikan. Graduan ini mungkin tidak begitu memerlukan kemahiran bagaimana hendak melayan kerenah pelanggan di kaunter-kaunter perkhidmatan. Kesemua tu bergantung kepada bidang kerjaya yang bakal diceburi kerana setiap bidang kerjaya itu berbeza-beza.

Sesi pemerhatian telah dijalankan di Karnival Pekerjaan dan Kerjaya Kebangsaan (Jobs Malaysia) pada 22 dan 23 November 2008, bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur. Karnival anjuran Jabatan Tenaga Kerja Malaysia, Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) ini melibatkan 104 majikan sektor swasta dan agensi kerajaan. Lebih 25 ribu jawatan kosong ditawarkan termasuk 14, 316 jawatan dalam kategori ‘quality job’. Lebih 20 ribu iklan jawatan kosong milik firma yang tidak dapat menyertai karnival tersebut dipaparkan pada papan kenyataan di ruang legar (bahagian luar) dewan karnival. Hampir semua majikan yang menyertai karnival ini mengadakan sesi temuduga terbuka kepada pengunjung yang berminat untuk mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan. Penyelidik telah menghadiri 24 sesi temuduga graduan yang dijalankan oleh 3 sektor swasta dan 1 agensi kerajaan.

Sebelum menyertai sesi temuduga tersebut, penyelidik telah membuat sesi temubual bersama pegawai penemuduga yang terlibat. Kebanyakan mereka telah memiliki persepsi mereka sendiri terhadap calon yang bakal ditemuduga. Mereka berpendapat, calon yang fasih berbahasa Inggeris, memiliki pengalaman kerja dalam bidang berkaitan atau sekurang-kurangnya memiliki kelayakan akademik dalam bidang berkaitan adalah lebih baik. Mereka juga membuat penilaian berasaskan penampilan, bahasa badan dan keyakinan calon ketika ditemuduga.

Hasilnya, terdapat perbezaan kaedah dan soalan yang ditanyakan kepada calon yang ditemuduga. Perbezaan ini mungkin berlaku akibat wujudnya persepsi awal tadi. Sebagai contoh, calon yang berlatarbelakangkan bidang aero angkasa dan berpengalaman bekerja dalam bidang tersebut mendapat layanan dan soalan yang lebih mesra berbanding calon yang datang dari latar belakang yang serupa tetapi tiada pengalaman bekerja.

Dalam salah satu temuduga terbuka pula, calon yang datang tanpa kelayakan yang ditetapkan akan mendapat layanan secara sederhana berbanding dengan calon yang menepati kriteria jawatan yang ditawarkan. Sebagai contoh, bagi jawatan Pegawai Perhubungan Awam, calon yang memiliki kelulusan dalam bidang berkaitan komunikasi dan fasih berbahasa Inggeris mendapat layanan dan soalan yang lebih baik berbanding calon yang tidak memiliki kedua-dua kriteria tersebut.

Penyelidik juga dapat mengesan perbezaan layanan yang agak ketara terhadap calon yang tidak fasih berbahasa Inggeris dengan calon yang boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Kebiasaannya, soalan untuk calon yang tidak fasih berbahasa Inggeris adalah terhad dan sesi temuduga juga menjadi lebih singkat. Walau bagaimanapun, situasi ini tidak berlaku di agensi kerajaan kerana sesi temuduga dijalankan sepenuhnya dalam bahasa Melayu.

Sepanjang 24 sesi temuduga yang disertai penyelidik, didapati tidak terdapat perbezaan ketara dalam layanan antara calon bumiputera dengan calon bukan bumiputera. Perbezaan layanan hanya kelihatan apabila calon yang ditemuduga tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan untuk memohon jawatan yang tersedia.

Walau bagaimanapun, terdapat kecenderungan dalam kalangan majikan untuk menyoal graduan dengan soalan-soalan yang hampir serupa. Soalan-soalan berikut kedengaran diajukan hampir kepada semua graduan yang menghadiri sesi temuduga tersebut:
a. Beritahu kami, mengapa kami perlu mengambil awak bekerja dengan kami.
b. Apa kelebihan awak yang boleh memberi manfaat kepada organisasi kami?
c. Ceritakan pengalaman awak bekerja sebelum ini. Apa bidang tugas awak.
d. Mengapa awak pilih syarikat kami?

Selain soalan-soalan tersebut, terdapat juga majikan yang meminta graduan memberikan pendapat apa yang mereka akan lakukan jika berdepan dengan beberapa situasi tertentu. Berikut adalah contoh situasi yang diberikan:
a. Anda sedang memandu dan tiba-tiba, tayar kereta anda pancit menyebabkan anda terpaksa berhenti di tepi jalan. Anggapkan yang anda tidak tahu bagaimana hendak menukar tayar kereta dan tidak pernah melakukannya. Apa yang akan anda lakukan?
b. Anda demam dan ingin pulang awal. Tetapi majikan meminta anda menyiapkan satu tugasan penting dan segera. Tugasan itu memerlukan anda memperuntukkan masa sehari suntuk untuk menyelesaikannya. Bagaimana caranya untuk anda meminta pelepasan dari majikan?
c. Sepuluh orang budak bermain di tepi landasan keretapi. Kawasan larangan. Seorang budak yang lain pula bermain di padang, juga berdekatan landasan keretapi. Anda adalah pemandu keretapi yang tiba-tiba terbabas keluar dari landasan. Anda terpaksa membuat pilihan sama ada melanggar seorang budak di padang berhampiran landasan atau melanggar sepuluh orang budak yang berada di tepi landasan tersebut. Apa pilihan anda dan mengapa?
d. Anda terperangkap di sebuah pulau dan tidak dapat berhubung dengan sesiapa. Di pulau tersebut terdapat pokok buah-buahan yang sangat subur. Terdapat juga sungai dan tasik yang banyak ikan. Anda tidak bermasalah untuk terus hidup di situ kecuali terpaksa berhadapan dengan sekumpulan manusia ‘makan orang’. Apa yang anda buat untuk menyelamatkan diri?

Apabila penyelidik bertanya kepada penemuduga tentang rasional soalan-soalan berasaskan situasi tersebut ditanya kepada graduan, mereka memberitahu bahawa mereka hanya ingin melihat keupayaan calon berfikir bagi menyelesaikan masalah. Tidak ada jawapan yang betul atau salah bagi soalan-soalan tersebut. Sebaliknya, penemuduga hanya ingin melihat keyakinan diri, kreativiti dan rasional tindakan graduan ketika menangani sesuatu situasi.

HBM Consultant said...

Berpandukan pelbagai tafsiran yang diberikan untuk kemahiran insaniah, maka penyelidik akan menggunakan teori yang diutarakan oleh Klaus (2007) iaitu kemahiran insaniah sebagai kemahiran individu dan kemahiran interpersonal. Merujuk kepada teori Klaus, kemahiran insaniah adalah kemahiran seseorang berinteraksi dengan diri sendiri dan orang lain. Kemahiran ini merangkumi unsur-unsur yang boleh dilihat, diukur dan dinilai melalui perlakuan dan tingkah laku seseorang.

Justeru berpandukan teori ini, maka kerangka konsep kemahiran insaniah yang akan dijadikan garis panduan bagi penyelidikan ini adalah seperti berikut:

a. Kemahiran individu

i. Sikap yang positif iaitu sentiasa memiliki rasa ingin tahu, bersikap optimis dan memiliki esteem diri iaitu penuh keyakinan, rasa hormat, menjaga perhubungan dengan baik dan bermotivasi tinggi.

ii. Pengurusan diri yang baik iaitu mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran, dapat menguruskan tekanan dan menguruskan masa. Ia juga merangkumi ciri-ciri kepimpinan iaitu dapat menjadi ketua, menguruskan ahli kumpulan dan dapat memberikan kerjasama yang baik ketika menjadi ahli biasa.

iii. Kemahiran berfikir iaitu dapat mengurus daya pemikiran dan kreativiti serta dapat menyelesaikan masalah dan membuat keputusan dengan baik.

b. Kemahiran interpersonal

i. Komunikasi interpersonal iaitu memiliki ciri-ciri kemahiran komunikasi interpersonal yang baik, menjadi pendengar aktif yang dapat memberikan maklum balas dengan empati, memiliki kemahiran berunding dengan orang lain serta berkebolehan mencapai persetujuan dan membuat keputusan. Ia juga merangkumi sikap mesra dan mudah bergaul, tidak bermasalah untuk berhubung dengan sesiapa dan menjadi individu yang disenangi, di segani serta dihormati.

ii. Berpendidikan budaya iaitu mahir dalam aspek adab, adat, nilai dan kepercayaan masyarakat yang pelbagai, dapat menerima dan memahami silang budaya di Malaysia serta dapat bekerjasama dengan individu lain yang berbeza fahaman serta budaya hidup.

iii. Kerjasama berkumpulan iaitu memiliki semangat berpasukan, bekerjasama dalam pembinaan dan pengurusan pasukan.

iv. Komunikasi khalayak iaitu memiliki kemahiran membuat pembentangan, berkebolehan mempengaruhi dan meyakinkan khalayak serta memiliki kemahiran dalam pengurusan rangkaian perniagaan yang merangkumi kemahiran mengendalikan temuduga, mesyuarat, perniagaan (jual beli) dan sebagainya.

v. Komunikasi bukan lisan.

HBM Consultant said...

KURSUS-KURSUS BERKAITAN KEMAHIRAN INSANIAH (DARI PERSPEKTIF PENSYARAH BERKAITAN)

1. Komunikasi Pemasaran (Marketing Communication)

Kursus ini memberikan penekanan kepada teknik membuat iklan, mempromosikan produk dan perkhidmatan secara interaktif, membuat publisiti produk dan perkhidmatan dan menjalankan aktiviti jualan peribadi melalui pelbagai media. Pelajar juga akan mempelajari urusan perniagaan yang berkaitan sistem sosial, khususnya yang melibatkan strategi komunikasi. Pelajar perlu berkebolehan memujuk dan meyakinkan pengguna untuk menggunakan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

2. Komunikasi Interpersonal (Interpersonal Communication)

Kursus ini memberikan penekanan kepada teknik berkomunikasi secara efektif dalam sesebuah organisasi. Antara tajuk yang dibincangkan adalah teori komunikasi, prinsip dan konsep komunikasi, mesej lisan dan bukan lisan, konflik dalam komunikasi dan komunikasi silang budaya. Pelajar diharapkan akan dapat memahami dan menggunakan kemahiran berkomunikasi dengan efektif di samping dapat meningkatkan keyakinan diri ketika berkomunikasi. Pelajar juga didedahkan kepada kepelbagaian konteks organisasi dan bagaimana untuk menjaga tingkah laku sosial ketika berinteraksi.

3. Kemahiran Komunikasi (Communication Skills)

Kursus ini direka untuk meningkatkan keupayaan komunikasi dalam kalangan pelajar khususnya yang melibatkan pembangunan sumber manusia. Topik yang diajar termasuklah komunikasi dalam organisasi dan komunikasi untuk pengurusan. Komunikasi untuk pengurusan merangkumi kemahiran mendengar, memahami mesej lisan dan bukan lisan, analisis dan dokumentasi, persembahan/pembentangan dan perundingan. Pelajar juga diajar bagaimana mengendalikan komunikasi yang berkesan dalam sesebuah kursus dan latihan. Pelajar juga dilatih untuk berperanan sebagai jurulatih dan pemudahcara. Di akhir kursus, pelajar diharapkan dapat mengaplikasikan kemahiran komunikasi berkesan, mengenalpasti kepentingan perhubungan dalam komunikasi, menjadi ahli pasukan yang saling bekerjasama serta dapat meningkatkan kemahiran latihan dan perundingan.

4. Komunikasi Pengurusan (Managerial Communication)

Kursus ini memberikan penekanan kepada teori komunikasi yang melibatkan komunikasi lisan dan bukan lisan, intrapersonal, interpersonal dan komunikasi berkumpulan. Pelajar akan mempelajari pentingnya perhubungan antara pekerja di pejabat, mendengar, memahami, menggunakan bahasa badan dan membaca tingkah laku. Pelajar turut diberi peluang mengendalikan temu bual, temuduga, menguruskan sesi latihan dan perkhidmatan perundingan dan kaunseling. Selain itu, pelajar juga akan diberi peluang mengendalikan kerja-kerja berkumpulan dan memegang peranan sebagai ketua mahu pun ahli/peserta. Pelajar dilatih untuk menyelesaikan masalah dan membuat keputusan.

HBM Consultant said...

Laporan Awal Hasil Temubual Bersama Beberapa Orang Pensyarah:

1. Pada pendapat Dr./Encik, apakah tafsiran kemahiran insaniah bagi majikan?

Beberapa orang pensyarah dari bidang Pengurusan, khususnya yang berkaitan dengan sumber manusia mentafsirkan kemahiran insaniah sebagai kemahiran sosial iaitu kemahiran untuk berurusan dengan orang lain khususnya jika ia merujuk kepada dunia kerjaya. Seorang pensyarah yang mengkhusus dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia memberikan contoh, kemahiran insaniah adalah kemahiran yang wajib ada dalam diri seorang usahawan yang berjaya. Ciri-ciri seorang usahawan yang berjaya ialah mengamalkan sikap yang baik dan menjaga perhubungan yang baik dengan semua orang. Dalam menjaga perhubungan baik itu, seseorang perlu mengetahui bagaimana caranya untuk berkomunikasi dengan berkesan, bertolak-ansur, mesra, peramah, berani menyatakan pandangan, bersikap rasional dan boleh menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi dan dengan sesiapa sahaja.

2. Apakah unsur-unsur kemahiran insaniah dan unsur apakah yang bersesuaian diterapkan dalam sukatan pelajaran di IPT?

Pada pendapat para pensyarah ini, terdapat pelbagai unsur kemahiran insaniah. Antaranya adalah komunikasi interpersonal, komunikasi organisasi dan komunikasi kumpulan. Melalui komunikasi berkesan, perhubungan baik akan mudah terbina dalam dunia kerjaya. Majikan yang akan mengambil pekerja akan menilai sejauh mana seorang graduan itu dapat berkomunikasi dengan baik ketika ditemuduga. Penguasaan bahasa Inggeris adalah perkara kedua. Perkara yang paling utama selain daripada kemahiran teknikal adalah bagaimana bakal pekerja meyakinkan majikan untuk diambil bekerja menerusi penampilan diri serta kebolehan dan keyakinan diri ketika bercakap. Unsur inilah yang sesuai dimasukkan ke dalam sukatan pelajaran di IPT.

3. Bercakap tentang kemahiran insaniah, kita tidak dapat lari daripada memberikan tafsirannya secara abstrak. Pada pendapat Dr./Encik, apa agaknya kemahiran insaniah yang boleh dilihat dan dinilai?

Kemahiran insaniah yang dapat dinilai dan dapat dilihat melalui mata kasar adalah budi bahasa. Cara seseorang itu bercakap dengan sopan, menunjukkan kemesraan dengan tersenyum ketika bercakap, menyapa orang lain sebelum dia disapa setiap kali berselisih di mana-mana dan banyak lagi. Sekiranya seseorang majikan itu ingin mengambil pekerja, mereka akan membuat penilaian seawal sesi temuduga. Dari mula masuk ke bilik temuduga, adakah dia memberi ucap selamat atau salam? Kemudian, adakah dia tersenyum dengan penuh yakin? Adakah dia menghulurkan tangan untuk berjabat salam? Adakah dia menanti untuk dipersilakan duduk atau dia memohon untuk duduk? Adakah dia yang memulakan sesi perbualan? Adakah dia bercakap dengan nada gugup? Adakah dia menjawab semua soalan walaupun dia tidak tahu sama ada jawapan itu betul atau tidak? Ini salah satu kaedah majikan menilai bakal pekerjanya.

Itu adalah dari aspek temuduga pekerja. Dari aspek perkembangan kerjaya pula, kemahiran insaniah boleh dinilai melalui personaliti individu. Sebagai contoh, kita boleh menilai seseorang melalui cara beliau bergaul dengan orang lain. Adakah mereka ini boleh bekerjasama dengan baik dalam satu pasukan tanpa ada sebarang perbalahan atau perselisihan pendapat? Adakah mereka ini boleh berkomunikasi dengan baik sebagai seorang ketua atau sebagai seorang pengikut? Penggunaan bahasa badan juga perlu diberikan perhatian dalam aspek penilaian ini. Sebagai contoh, adakah mereka boleh memberikan senyuman kepada orang lain? Atau memberi tunduk hormat dan berjabat salam dengan orang lain? Ini adalah asas kepada kemahiran insaniah yang boleh dilihat dan dinilai.

4. Kursus apakah yang seharusnya dijadikan medium pengajaran kemahiran insaniah?

Penyarah ini berpendapat bahawa terdapat beberapa kursus yang sangat bersesuaian untuk dijadikan medium pengajaran kemahiran insaniah seperti berikut:

a. Kursus etiket sosial kerana ia mengajar individu bagaimana untuk menyesuaikan diri dalam pergaulan sosial. Ia mengajar bagaimana cara seseorang itu perlu berpakaian, menjaga penampilan diri, menjaga percakapan dan bagaimana menyesuaikan diri dalam majlis-majlis tertentu.

b. Kursus komunikasi kerana ia adalah asas kepada pembinaan perhubungan baik dengan semua orang. Melalui kursus komunikasi, seseorang itu akan dapat belajar bagaimana menggunakan bahasa yang baik dan menjaga percakapan supaya disukai oleh orang lain.

c. Kursus pengucapan awam kerana melalui kursus ini, seseorang itu akan dapat meningkatkan keyakinan diri dengan belajar berucap di khalayak ramai. Kursus ini juga biasanya melatih seseorang itu kemahiran untuk meyakinkan pendengar.

d. Kursus komunikasi perniagaan kerana kursus ini mengajar para pelajar tentang kepentingan komunikasi dalam perniagaan. Di universiti yang mengajarkan kursus ini, para pelajar akan diajar juga tentang aspek hubungan kemanusiaan beserta dengan aplikasi komunikasi bagi mencapai matlamat organisasi. Penekanan diberikan kepada strategi komunikasi.

e. Kursus berkaitan dengan hubungan majikan dan pekerja. Kursus ini berkisar sekitar isu-isu dalam hubungan majikan dan pekerja khususnya berkaitan dengan teknik berunding, disiplin kerja, komunikasi organisasi dan pengurusan pentadbiran organisasi.

5. Apakah maklumat dan kemahiran yang perlu ada pada setiap guru yang mengajar kemahiran insaniah ini?

Bukan semua orang boleh mengajar kemahiran insaniah. Mereka yang paling sesuai mengajar kemahiran insaniah adalah mereka yang memiliki latar belakang komunikasi, sama ada komunikasi pengurusan, komunikasi interpersonal atau apa juga yang berkaitan dengan komunikasi. Kursus etiket sosial, komunikasi dan pengucapan awam misalnya, adalah asas kemahiran insaniah yang sangat baik. Mungkin akan lebih baik sekiranya seseorang guru itu memiliki ilmu dalam bidang komunikasi dan sekurang-kurangnya asas dalam bidang sumber manusia sekaligus. Ini kerana, guru tersebut akan lebih mengetahui apa keperluan majikan yang mengambil pekerja dan pada masa yang sama mengajar komunikasi sebagai aspek penting dalam kemahiran insaniah.

HBM Consultant said...

Ringkasan Perbincangan Pada 11 Februari 2009:

1. Beberapa perkara yang perlu dilakukan adalah

a. Cari buku ‘Interpersonal Communication’ dan baca tentang persepsi atau konsep diri (self concept) dan cara berkomunikasi.
b. Baca tentang ‘Professional Concept’. Setiap kelompok professional perlu ada identiti dan konsep yang tersendiri. Contohnya, dalam tentera banyak menggunakan bahasa mengarah sementara dalam sektor korporat seharusnya banyak menggunakan bahasa mendorong (motivasi).
c. Tengok semula Teori Maslow tentang ‘self-esteem’.
d. Tengok semula pendidikan kebudayaan dan kemahiran kebudayaan.
e. Dapatkan buku-buku berkaitan bahasa dan politik.
f. Cari ‘apa yang dikatakan oleh CEO’ sesebuah syarikat.

Teknik ‘triangulation’ akan digunakan secara menyeluruh dalam penyelidikan ini bagi mendapatkan jawapan kepada soalan-soalan kajian.

Bagi mendapatkan jawapan apa itu Kemahiran Insaniah, konsep ‘triangulation’ terdiri daripada 3 elemen berikut:
1. Teori yang akan didapati melalui pembacaan buku, jurnal, sumber internet dan sebagainya.
2. Temu bual dan pemerhatian daripada pakar-pakar, orang awam, graduan dan majikan.
3. Pemerhatian dan temu bual personaliti yang telah berjaya.

Akhir sekali, semakan akan dilakukan terhadap guru-guru yang mengajar, sama ada mereka faham dan mengaplikasikan teori khususnya berkaitan dengan teori ‘self-esteem’.

Bagi mendapatkan jawapan daripada personaliti yang dipilih, penyelidik perlu menyediakan soalan yang memberikan fakta dan memahami strategi bercakap personaliti terlibat. Adalah sesuatu yang lebih baik sekiranya penyelidik dapat memerhatikan personaliti tersebut mengendalikan urusan kerja mereka. Contohnya, memerhatikan gaya perbahasa yang mereka gunakan ketika mengendalikan urusan mesyuarat.

Bagi mendapatkan jawapan tepat daripada personaliti ini, elemen ‘triangulation’ yang akan digunakan adalah seperti berikut:
1. Teori yang akan didapati daripada riwayat diri personaliti terlibat seperti yang tertulis dalam biografi, majalah dan sebagainya.
2. Temu bual dan pemerhatian secara langsung dengan personaliti tersebut.
3. Temu bual dan meminta pandangan daripada orang terdekat seperti pekerja mereka.

Modul yang akan disediakan nanti mestilah terdiri daripada pemahaman, contoh dan latihan.
1. Kita faham teori kemahiran insaniah.
2. Kita faham apa yang orang lain tahu.
3. Kita tahu apa yang perlu dilakukan.