Sunday, October 25, 2009

Rancangan Oktober 2009

1. 26 Oktober 2009 Marniyati:

Tentatif Perancangan Aktiviti Setiap Bulan Mulai Oktober 2009 sehingga Jun 2010:


1. Pengumpulan dan penyusunan semula data penyelidikan.
2. Mengemaskini metodologi penyelidikan.
3. Menyiapkan laporan awal langkah demi langkah dalam metodologi.

November 2009

1. Menyiapkan laporan awal pengumpulan bahan bacaan (tinjauan literatur).
2. Memilih satu bahagian dan membuat analisis awal (fokus kepada organisasi - pilot projek).

Disember 2009

1. Menganalisis dan melaporkan data berkaitan graduan.
2. Meneruskan laporan pengumpulan bahan bacaan (tinjauan literatur).

Januari 2010

1. Menganalisis dan melaporkan data berkaitan orang awam dan universiti.
2. Meneruskan laporan pengumpulan bahan bacaan (tinjauan literatur).

Februari - Mac 2010

1. Membuat analisis rumusan menggunakan konsep triangulation.
2. Menulis laporan berkaitan rumusan.

April - Mei 2010

1. Mengemas kini bab demi bab.

Jun 2010

1. Menghantar draf awal tesis.

2. October 22, 2009 1:19 AM Marniyati said.

METODOLOGI KAJIAN

1. Reka Bentuk dan Kaedah Kajian

Kajian ini menggunakan reka bentuk penyelidikan deskriptif. Penyelidikan deskriptif bermaksud penyelidikan yang bertujuan menghuraikan dan menjelaskan secara terperinci tentang sesuatu bidang ilmu. Justeru, penyelidik berpendapat bahawa reka bentuk ini bersesuaian dengan matlamat penyelidikan, iaitu bagi meneroka dan menghuraikan tafsiran sebenar bidang ilmu kemahiran insaniah.

Kaedah tinjauan digunakan bagi mendapat maklumat keseluruhan tentang sesebuah situasi yang khusus melibatkan bidang kemahiran insaniah. Dua jenis tinjauan akan digunakan dalam menjayakan penyelidikan ini, iaitu kajian rentas dan kajian panel pakar.

a. Kajian rentas akan digunakan bagi populasi dan sampel yang besar. Contohnya, bagi responden dalam kategori orang awam. Memandangkan saiz populasi orang awam yang besar, maka kajian rentas akan dipilih bagi mendapatkan sampel bagi penyelidikan ini.

b. Kajian panel pakar akan digunakan bagi populasi dan sampel yang kecil. Contohnya, bagi responden dalam kategori pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Memandangkan saiz populasi yang tidak begitu besar, maka kajian panel pakar akan digunakan, iaitu dengan memilih pakar-pakar tertentu sahaja sebagai sampel penyelidikan.

3. October 22, 2009 1:28 AM Marniyati said...

PENGUMPULAN DATA

Data yang dikumpul dalam penyelidikan ini adalah data kuantitatif dan data kualitatif seperti berikut:

1. Data Kualitatif

Data kualitatif dikumpul melalui sesi temu bual dan pemerhatian. Sumber data ini diperoleh daripada organisasi, orang awam, graduan dan pegawai universiti terlibat. Data ini dikumpul melalui rakaman suara dan catatan oleh penyelidik. Kesemua data yang diperoleh telah ditranskripsikan. Data ini kemudiannya dianalisis secara huraian naratif. Pernyataan-pernyataan responden pula digunakan bagi mengukuhkan hujah-hujah penyelidikan.

2. Data Kuantitatif

Data kuantitatif dikumpul melalui set borang soal selidik yang diedarkan kepada graduan. Borang soal selidik diedarkan ke Universiti Multimedia Malaysia (MMU) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada hari Majlis Konvokesyen diadakan di universiti-universiti tersebut.

Analisis statistik deskriptif akan digunakan untuk mencari min, kekerapan dan peratusan kepada jawapan yang diberikan oleh subjek terlibat. Analisis ini bersesuaian dengan matlamat penyelidikan bagi menghuraikan maklumat dan data yang diperoleh. Data kuantitatif ini dianalisis secara huraian yang disertakan dengan carta, graf dan jadual mengikut kesesuaian huraian data tersebut.

3. October 22, 2009 1:30 AM Marniyati said...

PENGANALISISAN DATA

Data dianalisis menggunakan kaedah ‘triangulation’. Bagi mendapatkan definisi kemahiran insaniah yang tepat, kaedah ‘triangulation’ digunakan di setiap peringkat kajian.

Data akan dianalisis secara bersilang. Bagi mendapatkan jawapan apa itu kemahiran insaniah, analisis tiga penjuru akan melibatkan 3 elemen berikut:

a. Teori yang didapati melalui pembacaan buku, jurnal, sumber internet dan sebagainya.

b. Temu bual dan pemerhatian daripada pakar-pakar, orang awam, graduan dan majikan.

c. Pemerhatian dan temu bual personaliti yang telah berjaya.

Persamaan data dan maklumat daripada ketiga-tiga sumber ini akan diambil kira sebagai jawapan sebenar kepada tafsiran kemahiran insaniah. Setiap satu pecahan ini juga akan dianalisis menggunakan konsep yang serupa.

1. Analisis Tiga Penjuru Bagi Bahan Bacaan

Analisis tiga penjuru digunakan juga dalam usaha mendapatkan data daripada bahan bacaan.

Bahan bacaan terbahagi kepada 3 kategori rujukan iaitu bahan bacaan Islam, bahan bacaan barat dan bahan bacaan dari sumber pendidikan dalam dan luar negara.

a. Bahan bacaan Islam terdiri daripada AlQuran, kitab, buku-buku hadith, buku-buku berkaitan pekerti dan personaliti muslim serta buku-buku dan bahan bacaan berkaitan sifat dan sikap Rasulullah s.a.w beserta para sahabat.

b. Bahan bacaan barat pula merujuk kepada bahan-bahan penyelidikan masyarakat barat serta pendapat dan pandangan mereka tentang kemahiran insaniah melalui buku, rencana, jurnal dan sebagainya.

c. Bahan bacaan dari sumber pendidikan dalam dan luar negara pula merujuk kepada kandungan kursus yang diajarkan di institusi pengajian tinggi, kursus-kursus yang diajar di pusat latihan berkaitan dan bahan sukatan mata pelajaran yang digunakan dalam kursus-kursus berkenaan.

Kesemua bahan bacaan ini akan dianalisis bagi mendapat satu jawapan yang jelas tentang konsep kemahiran insaniah. Ia kemudiannya dianalisis lagi bagi mencari persamaan dengan sumber data yang lain.

4. October 22, 2009 1:34 AM
Marniyati said...

2. Analisis Tiga Penjuru Bagi Pengumpulan Data

Pengumpulan data bagi penyelidikan ini juga melibatkan tiga aktiviti iaitu pengedaran borang soal selidik, temu bual responden dan pemerhatian terhadap tingkah laku individu serta organisasi.

Objektif setiap aktiviti ini adalah bagi mendapatkan sebanyak mungkin maklumat dari setiap kategori responden. Melalui borang soal selidik, pemerhatian dan temu bual ini, pendapat masyarakat, pemimpin sosial, tokoh agama, majikan, tenaga pengajar dan graduan sendiri dapat dikumpul. Melalui aktiviti tersebut juga, penyelidik dapat meninjau keperluan kemahiran insaniah dalam masyarakat dan juga dapat meninjau pendapat pakar Al Quran dan hadith tentang tafsiran sebenar kemahiran insaniah.

Ketiga-tiga aktiviti ini adalah aktiviti yang saling melengkapi dan perlu dijalankan secara selari. Data daripada borang soal selidik disokong oleh temu bual. Data temu bual pula disahkan dan disokong oleh aktiviti pemerhatian. Jawapan daripada analisis tiga penjuru ini kemudiannya akan dianalisis lagi bagi mencari persamaan dengan sumber data yang lain.

5. October 22, 2009 1:36 AM Marniyati said...

3. Analisis Tiga Penjuru Bagi Tokoh Informan

Tokoh informan juga dianalisis menggunakan kaedah analisis tiga penjuru yang melibatkan bahan bacaan, temu bual bersama pemimpin korporat dan pendapat pengamal personaliti korporat sebagai sumber maklumat.

a. Melalui bahan bacaan seperti buku, majalah, jurnal dan laman web firma, maklumat asas berkaitan seseorang tokoh informan sudah boleh didapati. Maklumat berbentuk teori ini disokong pula dengan pendapat pengamal personaliti korporat yang ditemu bual. Pengamal personaliti korporat ini terdiri daripada pekerja atau individu yang berkaitan secara langsung mahupun tidak langsung dengan tokoh informan tersebut.

b. Bagi menguatkan lagi maklumat yang diperoleh, temu bual bersama tokoh informan tersebut turut dibuat. Beberapa nama tokoh korporat yang berjaya membina personaliti telah disenaraikan seperti Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari, Tan Sri Mohamed Ali Hashim dan Tan Sri Rozali Ismail.

c. Bagi mendapatkan jawapan daripada tokoh yang dipilih, penyelidik menyediakan soalan yang memberikan fakta dan sentiasa cuba memahami strategi bercakap tokoh tersebut. Penyelidik juga sentiasa memerhatikan bagaimana tokoh informan tersebut mengendalikan hubungan baik dengan orang lain di sepanjang waktu mereka mengendalikan urusan kerja mereka. Contohnya, memerhatikan gaya berbahasa yang digunakan tokoh informan ketika mereka mengendalikan urusan mesyuarat.

6. October 22, 2009 1:38 AM Marniyati said...

ALAT KAJIAN

1. SOAL SELIDIK
2. TEMU BUAL
3. PEMERHATIAN

1. SOAL SELIDIK

Satu set soal selidik disediakan untuk graduan. Soal selidik digunakan memandangkan saiz populasi yang sangat besar iaitu melibatkan graduan yang ramai sehingga memerlukan masa yang sangat banyak diperlukan bagi mendapatkan data melalui kaedah lain seperti temu bual. Kaedah paling mudah untuk mendapatkan data yang banyak daripada saiz populasi yang besar ini adalah dengan mengedarkan borang soal selidik untuk diisi oleh subjek. Set soal selidik tersebut dihuraikan secara ringkas seperti berikut:

a. Bahagian A terdiri daripada 10 soalan yang memberikan maklumat asas subjek terlibat. Maklumat berkenaan adalah:
i. Jantina
ii. Umur
iii. Bangsa
iv. Agama
v. Pembiayaan Pengajian
vi. Tempat Tinggal
vii. Nilai CGPA

b. Bahagian B terdiri daripada 12 soalan yang memberikan maklumat asas tentang cabaran graduan mendapatkan pekerjaan. Maklumat berkenaan adalah:
i. Jawatan yang disandang
ii. Majikan
iii. Pendapatan
iv. Tempoh bekerja sekarang
v. Pekerjaan ke berapa
vi. Tahap kepuasan bekerja
vii. Jumlah temuduga dilalui
viii. Jumlah pekerjaan dimohon
ix. Bahasa ketika temuduga
x. Ujian psikometrik ketika temuduga

c. Bahagian C terdiri daripada sekurang-kurangnya 28 soalan yang akan mendapatkan pandangan graduan tentang kemahiran insaniah. Bahagian ini menjawab soalan berkaitan:
i. Tafsiran kemahiran insaniah bagi graduan.
ii. Unsur-unsur kemahiran insaniah.
iii. Unsur-unsur kemahiran insaniah yang bersesuaian diterapkan dalam sukatan pelajaran di IPT.
iv. Kandungan kursus kemahiran insaniah di IPT.
v. Sejauh mana keberkesanan pengajaran kemahiran insaniah yang diwajibkan kepada semua IPT.

Secara keseluruhannya, borang soal selidik untuk graduan terdiri daripada sekurang-kurangnya 40 soalan. Bentuk soalan yang digunakan dalam borang soal selidik adalah soalan-soalan berstruktur, iaitu soalan-soalan tertutup. Ini bermaksud, subjek perlu menjawab dengan memilih jawapan-jawapan yang tersedia.

8. October 22, 2009 1:42 AM Marniyati said...

2. TEMU BUAL

Sesi temu bual pula dijalankan ke atas semua kelompok subjek. Walau bagaimanapun, temu bual terhadap kelompok graduan hanya dijalankan secara terhad kepada graduan yang terpilih sahaja (tidak melibatkan semua subjek yang mengisi borang soal selidik). Sungguhpun ia terhad berdasarkan tahap sukarela subjek untuk ditemu bual, namun penyelidik sentiasa mencuba mendapatkan seberapa banyak subjek untuk sesi tersebut bagi mendapatkan seberapa banyak data kualitatif. Temu bual ini penting bagi mengelakkan subjek terikat dengan pilihan jawapan yang diberikan melalui borang soal selidik yang diisi sebelumnya.

Penyelidik sedaya upaya mengajukan soalan-soalan terbuka kepada semua responden. Ini kerana soalan terbuka bersifat lebih subjektif dan dapat memberi ruang sepenuhnya kepada responden mengemukakan pendapat mereka. Responden juga tidak terikat dengan jawapan atau arah tuju soalan yang diberikan berbanding soalan berbentuk tertutup yang hanya memerlukan responden menjawab ya atau tidak.

Soalan-soalan temu bual pula dirangka berbeza-beza mengikut kategori responden. Perbezaan ini perlu memandangkan wujudnya perbezaan fungsi responden dalam masyarakat. Contohnya, responden dalam kategori majikan berfungsi sebagai penyedia perkhidmatan sedangkan responden dalam kategori orang awam pula berfungsi sebagai pengguna perkhidmatan. Justeru, soalan bagi sesi temu bual dirangka dalam empat kategori seperti berikut:

a. Soalan kepada organisasi menjawab soalan berikut:
i. Apakah tafsiran kemahiran insaniah bagi organisasi?
ii. Mengapa majikan masih perlu mengadakan latihan dan kursus kepada graduan apabila mereka memasuki alam kerjaya?
iii. Apakah persepsi sebenar majikan terhadap kebolehan graduan yang baru mula bekerja?

iv. Apakah masalah yang dihadapi oleh majikan berhubung kemahiran insaniah dalam kalangan graduan?
v. Apakah kursus yang disediakan oleh majikan untuk graduan yang baru mula bekerja dan mengapa mereka perlu mengikuti kursus tersebut?

b. Soalan kepada graduan menjawab soalan berikut:
i. Apakah tafsiran kemahiran insaniah bagi graduan?
ii. Apakah unsur-unsur kemahiran insaniah dan unsur apakah yang bersesuaian diterapkan dalam sukatan pelajaran di IPT?
iii. Apakah kandungan kursus kemahiran insaniah di IPT?
iv. Kursus apakah yang seharusnya dijadikan medium pengajaran kemahiran insaniah?
v. Apakah maklumat dan kemahiran yang perlu ada pada setiap guru yang mengajar kemahiran insaniah ini?

c. Soalan kepada universiti menjawab soalan berikut:
i. Apakah tafsiran kemahiran insaniah bagi universiti?
ii. Apakah unsur-unsur kemahiran insaniah dan unsur apakah yang bersesuaian diterapkan dalam sukatan pelajaran di IPT?
iii. Apakah kandungan kursus kemahiran insaniah di IPT?
iv. Kursus apakah yang seharusnya dijadikan medium pengajaran kemahiran insaniah?
v. Apakah maklumat dan kemahiran yang perlu ada pada setiap guru yang mengajar kemahiran insaniah ini?

d. Soalan kepada orang awam menjawab soalan berikut:
i. Apakah tafsiran kemahiran insaniah bagi orang awam?
ii. Apakah unsur-unsur kemahiran insaniah dan unsur apakah yang bersesuaian diterapkan dalam sukatan pelajaran di IPT?

Penyelidikan ini menggunakan kaedah temu bual tidak berstruktur iaitu temu bual yang dijalankan secara tidak formal. Penyelidik hanya mengajukan soalan berkaitan kepada responden mengikut kesesuaian. Ini bermaksud, penyelidik tidak mengajukan semua soalan yang sama kepada semua responden.

9. October 22, 2009 1:44 AM
Marniyati said...
3. PEMERHATIAN

Pemerhatian dibuat bagi mengkaji interaksi yang kompleks dalam situasi yang sebenar. Kaedah ini melibatkan pemerhatian terhadap tingkah laku majikan sewaktu menjalankan pemilihan mengambil pekerja, tingkah laku graduan yang memohon pekerjaan dan juga personaliti yang terpilih dalam penyelidikan ini.

Penyelidik menggunakan kaedah pemerhatian bagi mendapatkan rakaman peristiwa dan perlakuan subjek secara langsung. Pemerhatian memungkinkan penyelidik mendapat maklumat yang lebih bersifat semula jadi. Kaedah ini membantu penyelidik mendapatkan maklumat dan interpretasi dari sudut pandangan berbeza serta tidak bergantung kepada maklumat dan pendapat subjek semata-mata. Pemerhatian telah dijalankan seperti berikut:

a. Pemerhatian ke atas tingkah laku majikan dalam sesi temuduga terbuka bagi pengambilan pekerja di Karnival Pekerjaan dan Kerjaya Kebangsaan (Jobs Malaysia) pada 22 dan 23 November 2008 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Penyelidik telah menghadiri 24 sesi temuduga terbuka yang melibatkan 3 sektor swasta dan 1 agensi kerajaan di karnival tersebut.

b. Pemerhatian ke atas tingkah laku, penampilan dan sahsiah diri graduan yang menghadiri sesi temuduga di beberapa buah firma. Pemerhatian terhadap graduan ini juga dijalankan dalam sesi temuduga terbuka yang diadakan di beberapa buah karnival kerjaya.

2 comments:

HBM Consultant said...

TEORI DAN KERANGKA KAJIAN

Berpandukan pelbagai tafsiran yang diberikan untuk kemahiran insaniah, maka penyelidik akan menggunakan teori yang diutarakan oleh Wilding (2007) yang menyatakan Emotional Intelligence (EI) sebagai soft skills. Teori Wilding dipilih sebagai asas penyelidikan ini kerana Wilding menjelaskan elemen kemahiran insaniah dengan terperinci sebagai kemahiran intrapersonal dan interpersonal.

Teori yang dibawa oleh Wilding berpadanan dengan tafsiran kemahiran insaniah dari perlbagai perspektif. Kemahiran insaniah bukan sekadar kemahiran generik yang dapat dilihat secara fizikal melalui kemahiran interpersonal, tetapi juga terkandung dalam aspek kemanusiaan, kerohanian dan spiritual melalui kemahiran intrapersonal seseorang.

Teori Wilding juga dipilih kerana beliau bersetuju bahawa kemahiran insaniah merangkumi unsur-unsur yang boleh dilihat, diukur dan dinilai melalui percakapan, tindakan dan tingkah laku seseorang. Wilding menyatakan bahawa kemahiran insaniah terdiri daripada sikap dan kebolehan yang boleh dibina dan dibentuk menjadi personaliti dalam diri seseorang. Konsep ini akan cuba dibuktikan dalam penyelidikan ini.

Justeru, berpandukan teori Wilding, kerangka konsep kemahiran insaniah yang akan dijadikan garis panduan bagi penyelidikan ini adalah seperti berikut:

a. Kemahiran intrapersonal

i. Bagaimana seseorang itu melihat dan memahami diri sendiri. Ini termasuklah kebolehan seseorang menganalisis kekuatan dan kelemahan diri, belajar mengawal dan meguruskan emosi, jujur dengan diri sendiri serta kebolehan membina estim diri yang tinggi.

ii. Bagaimana seseorang itu mengaplikasikan kemahiran berfikir. Seseorang itu mesti sentiasa berfikiran positif dan sentiasa bersikap optimis. Ini termasuklah kelebihan seseorang berfikir menggunakan elemen ketenangan, pengawalan pernafasan dan kaedah humor, juga kelebihan seseorang melawan pemikiran negatif dari menguasai diri.

iii. Bagaimana seseorang itu membina nilai diri, mempertingkatkan kualiti diri, membina konsep diri, bersikap menghargai, sentiasa bermotivasi, bertanggungjawab, berintegriti, berkeyakinan tinggi dan bersikap terbuka.

iv. Bagaimana seseorang itu membina ketabahan melalui estem diri yang tinggi. Ini termasuklah kebolehan menggunakan kekuatan dalaman dan kebolehan interpersonal serta kemahiran menyelesaikan masalah. Aspek ini sangat penting bagi membina keyakinan diri.

v. Bagaimana seseorang itu mengawal kemarahan. Ini termasuklah kebolehan mengesan kemarahan di peringkat awal, memanipulasikan kemarahan, menukar kemarahan menjadi sesuatu yang bermanfaat, meredakan dan menghilangkan kemarahan, serta mengawal tingkah laku yang kasar akibat kemarahan.

b. Kemahiran interpersonal

i. Bagaimana seseorang itu membina sikap dalam perhubungan sosial, termasuklah belajar memahami orang lain dengan empati, belajar memikul bertanggung jawab, mengetahui kelebihan meminta dan memberi kemaafan dan tidak mudah membuat tuduhan.

ii. Bagaimana seseorang menguasai kemahiran berkomunikasi, kebolehan mendengar secara aktif, memiliki ketegasan mempertahankan pendapat dan menguasai serta memahami penggunaan bahasa badan.

iii. Bagaimana seseorang itu harus menyedari kepentingan menguasai teknik berkomunikasi di tempat kerja, memahami konsep kepimpinan dan berkebolehan memimpin, menjaga perhubungan antara majikan dengan pekerja serta kepentingan kemahiran insaniah dalam membina kerjaya.

Ringkasnya, Wilding mentafsirkan kemahiran insaniah sebagai kebolehan seseorang menjaga perhubungannya dengan diri sendiri dan hubungannya dengan orang lain. Kemahiran insaniah hanya terbina apabila kemahiran interpersonal dan kemahiran intrapersonal ini digabungkan dengan sempurna.

HBM Consultant said...

PERBINCANGAN PADA 16 DISEMBER 2009

1. Laporan pertama berkaitan data majikan yang telah disemak sedang diedit dan dikemaskini. Maklumat tambahan berkaitan 'human behaviour' akan dimasukkan.

2. Pembacaan diteruskan. Rujukan akan dibuat terhadap kecenderungan pengkaji lain menggunakan 'people skills' bagi merujuk 'soft skills'. Rujukan internet juga akan dibuat terhadap penggunaan istilah emotional intelligence, people skills dan emotional skills.

3. Laporan data graduan dan metodologi akan diserahkan akhir bulan ini.

4. Analisis triangulasi perlu dibuat dibahagian akhir setiap data yang dianalisis.

5. Kemaskini dan penjelasan berkaitan perbezaan kemahiran interpersonal dan komuniksai interpersonal dari perspektif majikan juga akan dibuat.